Ketua Beliawanis hadiri Konvensyen Bidadari Dunia

Putrajaya, 24 Mac 2012- Konvesyen Bidadari Dunia anjuran Iluvislam yang diadakan selama dua hari baru-baru ini telah mendapat sambutan dan penyertaan seramai 3,000 peserta dari seluruh Malaysia. Saudari Norhamimah Ibrahim, Naib Presiden 2 merangkap Ketua Beliawanis PEMBINA telah dijemput untuk turut menghadiri sidang media oleh Pengarah Urusan Iluvislam, Encik Imran Koyube.

Selepas sesi sidang media, Norhamimah yang hadir atas jemputan rasmi pihak penganjur kepada PEMBINA telah berkesempatan bertukar-tukar pandangan dengan Encik Imran, terutama sekali dalam pendekatan-pendekatan yang terbaik ke arah menyampaikan dakwah kepada masyarakat terutamanya generasi muda dan golongan belia.

En Imran turut menyatakan pandangan peribadi beliau mengenai kepelbagaian jemaah di Malaysia. Beliau merasakan titik-titik persamaan yang dikongsi di antara badan-badan dan gerakan-gerakan Islam seharusnya menjadi satu ruang pertemuan dan kerjasama dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia. Apabila ditanya mengenai PEMBINA, Saudari Norhamimah telah memperkenal PEMBINA sebagai salah sebuah sebuah badan-badan bukan kerajaan (NGO) belia yang bersifat non-partisan yang berusaha mendaulatkan Islam di Malaysia. Beliau juga menjelaskan bahawa aspek pembangunan jatidiri ahli merupakan fokus utama dalam program-program anjuran PEMBINA. Rentetan pertemuan ini, Encik Imran telah menyatakan keinginan untuk membina hubungan kerjasama dan ukhuwah Islamiah yang erat di antara PEMBINA dan Iluvislam. Turut hadir dalam sesi Sidang Media Konvensyen Bidadari Dunia ini juga adalah wakil Media PEMBINA.

PEMBINA mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Iluvislam di atas penganjuran konvensyen yang begitu bermanfaat dan berguna dalam aspek membangun jati diri beliawanis muslim di Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top