KONGRES MASA DEPAN ISLAM (KMDI) – Kesatuan Menjamin Masa Depan Ummah

SHAH ALAM, 25 Mac 2012- Seramai lebih kurang 250 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan mahasiswa Islam tempatan dan kumpulan profesional telah menghadiri Kongres Masa Depan Islam 2012 Siri Pertama di Hotel de Palma, Shah Alam semalam.

Kongres ini telah dianjurkan dengan gabungan beberapa buah NGO tempatan iaitu ProMuslim, Muafakat, ISMA dan juga PEMBINA. Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menghantar penyertaan seramai 140 orang mahasiswa daripada IPT berdekatan seperti UKM, UPM, UM, UIAM Gombak, IPBM, KPTM dan IPIS.  

Dengan bertemakan ‘Kesatuan Menjamin Masa Depan Ummah’, kongres tersebut diadakan bertujuan untuk melahirkan kesedaran dan iltizam perpaduan ummah disamping menjana idea-idea dan strategi dalam memperkasakan Islam melalui kefahaman dan perlaksanaannya di dalam sistem kehidupan masyarakat (ekonomi, pentadbiran, undang-undang dan lain-lain)  secara lebih tuntas.

Program bermula dengan ucaptama oleh presiden PROMUSLIM, Tuan Haji Mansoor Haji Ahmad diikuti sesi pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Hj Ismail Mina (Presiden MUAFAKAT) Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman (Presiden ISMA) dan Dr. Firdaus Hanapiah (Naib Presiden PROMUSLIM) pada sesi pagi. Majlis bersambung di sesi petang dengan forum yang mengangkat tema program iaitu ‘Kesatuan Menjamin Masa Depan Ummah’.

Di akhir program tersebut Kongres Masa Depan Islam telah mencapai beberapa resolusi hasil kesepakatan bersama yang telah dibentangkan oleh Tn Haji Aminudin Yahya, Timbalan Presiden ISMA seperti di bawah:

RESOLUSI KONGRES MASA DEPAN ISLAM (KMDI) SIRI 1

“Kesatuan Menjamin Masa Depan Ummah”

RESOLUSI 1

Unsur fahaman Liberalism dan Pluralism Agama di kalangan orang Islam adalah suatu penyakit yang WAJIB dibendung  dan diperangi. Fahaman ini boleh mendorong kearah gejala murtad yang WAJIB ditangani. Oleh yang demikian penganjur Kongres Masa Depan Islam (KMDI) menyeru agar semua pihak samada agensi kerajaan, NGO-NGO Islam dan individu berusaha membenteras fahaman ini dari pelbagai sudut.

RESOLUSI 2

Islam mewajibkan umatnya untuk bersatu demi mempertahankan agama dan negara. Oleh itu semua pihak samada parti politik, agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO Islam disaran berusaha mencapai kata persepakatan dalam prinsip-prinsip asas islam demi memastikan agama Islam dan kedaulatan negara dapat dipertahankan.

RESOLUSI 3

Asas pembentukan sahsiah manusia (sebagai seorang khalifah) hendaklah dipaksikan kepada melahirkan generasi insan soleh yang menjadi qudwah hasanah (contoh baik). Untuk itu Kongres Masa Depan Islam (KMDI) menyarankan pembelanjaran agama di sekolah perlu lebih komprehensif meliputi spiritual, mental dan fisikal dan waktu pembelanjarannya dipanjangkan tempohnya.

RESOLUSI 4

Kemiskinan adalah antara permasaalahan yang telah terbukti sebagai salah satu penyebab kepada gejala sosial dan keruntuhan aqidah. Oleh itu pembelaan orang-orang Melayu melalui rancangan/pelan ekonomi dan pembelajaran (pembiayaan/bantuan/institusi) sedia ada mestilah di PERKASA dan BUKAN DIKURANGKAN.

RESOLUSI 5

Orang Islam mestilah sedar strategi musuh islam terutama kumpulan Yahudi Zionis yang cuba memecahkan umat islam. Oleh itu adalah menjadi kewajiban umat islam samada parti politik, agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO Islam mempunyai satu pelan tindakan bersama dalam menangani serangan ini.

RESOLUSI 6

Isu murtad kini semakin menular dikalangan umat Islam. Oleh itu Kongres Masa Depan Islam menyarankan agar satu usaha khusus yang menggabungkan semua pihak samada parti politik, agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO Islam membantu mencari punca dan penyelesaian terhadap masalah ini. Mereka juga digesa supaya melaksanakan aktiviti yang memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya murtad.

RESOLUSI 7

Ummah pada hari ini (TERUTAMA PEMIMPIN) WAJIB melihat urusan masa depan Islam dalam konteks aspek kelangsungan (survival) hidup dan keturunan anak cucu mereka pada jangkamasa yang panjang. Untuk itu Kongres Masa Depan Islam MENGGESA semua pimpinan islam mengenepikan pemikiran politik dalam melihat masalah umat.

RESOLUSI 8

Kelangsungan aqidah Islamiyah berpaksikan Ahlusunnah Wal Jamaah adalah suatu jalan yang kukuh ke arah perpaduan ummah. Oleh itu Kongres Masa Depan Islam menyeru kerajaan supaya membendung apa-apa fahaman selain daripada itu dan memastikan semua gerakan yang membawa fahaman yang mencerca para sahabat Rasulullah saw (Syiah) di berhentikan dengan segera.

  1. Tuan Haji Mansoor bin Haji Ahmad (Presiden Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukhuwah Ummah – ProMuslim)
  2. Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman (Presiden Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia – ISMA)
  3. Ustaz Haji Ismail Mina bin Ahmad (Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia – MUAFAKAT)
  4. En. Ibrahim bin Mohd Hasan (Presiden Persatuan Belia IslamNasional – PEMBINA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top