Kuala Lumpur, 7 Ogos – Kesedaran diri yang tinggi atau “high self awareness” adalah ilmu asas yang perlu dikuasai oleh mahasiswa jika ingin menjadi seorang pemimpin yang matang.
Demikian ujar ketua unit Latihan dan Kepimpinan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Saudari Hanan binti Othman hari ini.
“Jika kita perhatikan mahasiswa secara keseluruhan pada hari ini, ramai yang suka bertindak mengikut emosi dan kepala sendiri.
“Banyak juga perbalahan yang berlaku, baik di skala besar yang melibatkan buli dan kecederaan fizikal, mahupun di skala kecil yang melibatkan pemulauan rakan sekuliah, tidak dapat siapkan kerja berkumpulan yang diberikan oleh pensyarah dan yang seumpanya.
“Apabila diamati, ini kerana kebanyakan mahasiswa cenderung mengikut perangai sendiri dan tidak mampu nak bertoleransi antara satu sama lain, terutama apabila perlu bekerjasama dengan rakan lain yang berlainan personaliti”.
Kerana itu, ujar Hanan, mempelajari dan menguasai jenis-jenis personaliti berbeza adalah ilmu asas yang penting bagi meningkat kesedaran kendiri yang seterusnya membawa kepada kematangan emosi seorang mahasiswa.
Menurut beliau lagi, mencapai kematangan emosi perlu menjadi sasaran semua mahasiswa.
“Ini kerana, mahasiswa hari ini yang akan menjadi pemimpin hari esok. Jika mahasiswa tidak berusaha untuk mengusai diri dan emosi bermula dari sekarang, maka kepimpinan hari esok akan menjadi celaru.
“Lebih menyedihkan bilamana kita lihat musuh Islam bergerak maju kehadapan dengan pelbagai usaha untuk jatuhkan islam, sedangkan barisan kepimpinan mahasiswa islam pada hari ini tidak mampu mengorak langkah ke hadapan kerana bergaduh dan merajuk sesame sendiri.
“Kerana itu, kami dalam PEMBINA akan memberikan penekanan untuk meningkatkan kesedaran kendiri mahasiswa di kalangan ahli-ahli PEMBINA melalui latihan berterusan demi menyediakan mereka sebagai pemimpin negara”, ujar beliau.
Saudari Hanan binti Othman yang juga merupakan seorang geosaintis sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka baru sahaja selesai menjalankan latihan kejurulatihan modul kepimpinan Personaliti Plus dan Blue Ocean Strategy kepada 13 orang Jurulatih PEMBINA (JURUBINA) baru-baru ini.
PEMBINA mempunyai seramai 35 orang JURUBINA di seluruh negara yang telah dilatih dan ditauliahkan dengan pelbagai modul kepimpinan untuk pembangunan ahli-ahli PEMBINA secara keseluruhan.
Dengan kesedaran kendiri yang mantap, kita dicampak ke mana-mana pun, takkan terpengaruh dengan perkara yang tidak sepatutnya.