KENYATAAN RASMI PERSATUAN BELIA ISLAM NASIONAL: ISU MENGANGKAT BAHASA MANDARIN DI MEDIA PERDANA

PEMBINA sentiasa cakna dan mengikuti perkembangan arus pendidikan di Malaysia.

Akhbar Sinar Harian baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengecewakan kerana mempromosi SJKC kepada masyarakat dengan alasan Bahasa Mandarin mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam pasaran pekerjaan.

Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dikeluarkan di media perdana kerana ia bertentangan dengan agenda dan prinsip negara Malaysia yang mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan yang berunsur mengangkat Sekolah Vernakular setaraf dengan Sekolah Kebangsaan yang lain hanya akan menggalakkan jurang perkauman dalam generasi baharu sekaligus menjadikan pemahaman generasi muda terhadap etos nasional menipis.

Kesan yang paling membimbangkan adalah apabila anak-anak muda akan hilang kebersamaan dalam membangunkan negara. Kesedaran dalam diri mereka untuk memelihara dan mengangkat Bahasa Kebangsaan setaraf dengan bahasa-bahasa utama dunia yang lain akan memudar apabila nilainya tidak diletakkan di tempat sepatutnya dalam fikiran dan minda mereka.

PEMBINA yakin bahawa naratif mengangkat bahasa mandarin sebagai bahasa pengantar utama sebenarnya tidak meletakkan fungsi bahasa itu pada tempatnya, tetapi semestinya ia bakal hadir bersama membawa pakej dari sudut agenda (baca:penchinaan), silibus, sistem serta doktrinisasi dibelakangnya. Negara yang maju perlulah memiliki satu identiti yang sama. Satu bahasa yang sama. Mengangkat Bahasa selain Bahasa Melayu hanya menjadikan generasi muda akan semakin keliru dengan jati diri diri sendiri sebagai rakyat Malaysia.

PEMBINA menolak sekeras-kerasnya usaha pihak-pihak untuk menjadikan Bahasa Mandarin sebagai bahasa yang setara dengan Bahasa Kebangsaan. Hal ini kerana sedikit sebanyak akan mengakibatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di Malaysia tergugat.

Kenapa tidak kita mengangkat nilai bahasa Melayu setara dengan bahasa mandarin atau apa-apa bahasa yang digunakan secara global ke dalam sistem, pasaran, pendidikan, sains, dan sebagainya kerana bahasa Melayu adalah bahasa peradaban yang memiliki falsafah dan kearifannya yang tersendiri bahkan telah mengangkat islam sebagai sumber keilmuwan hasil daripada asimilasi ilmu yang berlaku dahulu.

Dasar Pendidikan Kebangsaan harus diperkasakan perlaksanaannya di semua peringkat persekolahan. Ini termasuklah strategi yang dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan iaitu menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua.

PEMBINA juga menyeru mana-mana badan mahasiswa dan NGO khususnya belia untuk tampil bersama dalam menolak pengiktirafan Sekolah Vernakular setaraf dengan Sekolah Kebangsaan. Generasi muda perlu mengambil bahagian mencorakkan masa depan negara dengan mengambil peduli tentang isu-isu yang berpotensi membantutkan pertumbuhan negara kita.

Disediakan oleh Persatuan Belia Islam Nasional
6 Zulhijjah 1445H | 13 Jun 2024

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top