Ekoran kejadian 2 pelajar tingkatan tiga yang telah dirogol oleh 38 lelaki di Ketereh pada 20 mei yang lalu, saya mewakili Beliawanis PEMBINA Ipoh mengecam sekeras-kerasnya perbuatan terkutuk tersebut dan melanggari syara’ malah mereka telah menjatuhkan martabat seorang wanita dan lelaki di sisi Islam.
Allah mengingatkan setiap hambanya dalam firman yang berbunyi:
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan pudar kebersihannya (disebabkan oleh kekotoran ma’siatnya).
(As-syams:9-10)
Dalam kesibukan masyarakat Malaysia yang mengejar kemajuan dan kemodenan demi mencapai status negara maju pada tahun 2020, asas cerminan akhlak islamiyyah berorentasikan tauhid perlu dititik beratkan. Melalui petunjuk wahyu, Islam sentiasa mengutamakan sistem nilai yang adil dan bersih dari kecacatan yang boleh memberi implikasi negatif kepada sistem pembangunan manusia dalam jangka masa panjang. Undang-undang syariah bukanlah karangan atau ciptaan manusia akan tetapi ianya adalah peraturan-peraturan yang dicipta oleh Allah sesuai bagi menjaga kesejahteraan manusia hidup di dunia .
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (Al-Ma’idah : 49-50)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa pentingnya melaksanakan hudud dalam membenteras perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh Islam. Ayuh, mari kita sama-sama renungkan.
Apabila aqidah yang kukuh dan sejahtera telah terpahat di dalam setiap jiwa manusia dan nilai kehidupan dipraktiskan bersumberkan ilmu wahyu adakah kejadian tragis seperti ini akan terus berlaku berluas-luasa?
Oleh itu, ekoran kejadian ini semua pihak perlulah bermuhasabah dan memainkan peranan baik dari segi individu dalam memelihara maruah diri dan kesejahteraan aqidahnya, keluarga dalam memberi penekanan pendidikan wahyu seiring dengan kepentingan ilmu akademik, masyarakat dalam mewujudkan suasana islami dan bersatu padu dalam mempertahankan aqidah seta menentang unsur-unsur negatif atau ma’siat yang boleh menggugat kesejahteraan aqidah dan akhlak masyarakat, negara dalam mewujudkan kehormonian hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama dalam mengukuhkan ketinggian islam.
Malah, media juga memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan masyarakat yang tinggi nilai akhlaknya. Selain daripada berita sensasi dan semasa, akhbar dan media seharusnya memberi penekanan dan ‘hightlight’ yang lebih dalam pembentukan individu berpersonaliti mukmin yang bertaqwa baik dari segi penulisan dan juga filem islami. Akhbar dan media yang ‘soleh’ adalah yang dapat membangkitkan jiwa ummah untuk menginsafi diri dan mendekatkan diri kepada pencipta dan bukannya dengan mendekatkan ummah dengan menghidangkan perbuatan aib dan ma’siat sebilangan masyarakat sebagai agenda utama penyiaran dan penulisan.
Agama hadir dalam memberi solusi untuk memperkukuhkan aqidah dan mencantikkan sahsiah manusia malah rasulullah telah diutuskan hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Sungguh terkutuk perbuatan manusia yang menjatuhkan martabatnya sendiri ke lembah yang hina.
Firman Allah:
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagiandaripada balasan buruk yang mereka telah lakukan, agar mereka kembali (insaf dan bertaubat)
(Ar-rum:41)
Wallahu’alam.
Nur Zulaikha Binti Tusiran
Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Ipoh