Kenyataan PEMBINA mengenai siasatan JAIS ke atas DUMC

PEMBINA di sini menyatakan pendirian berikutan insiden serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sewaktu satu majlis makan malam sedang berlangsung:

1)      PEMBINA berpendapat penyiasatan ke atas sebarang ancaman yang boleh menggugat kedudukan Islam atau aqidah umat Islam wajar dilakukan jabatan agama Islam negeri, khususnya JAIS dalam kes di Selangor ini. Namun, siasatan harus dilakukan dengan penuh hemah agar tidak menjadi alasan bagi pihak lain untuk memutarbelitkan atau menggunakan kecuaian pihak berkuasa sebagai backlash untuk memalingkan umum dari isu asal.

2)      Ummat Islam perlu bertegas dan sensitif dengan sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan keraguan dan ancaman terhadap pegangan agama. Sungguhpun kita mengiktiraf hak-hak beragama di dalam negara berbilang kaum dan agama, tetapi semua pihak harus menghormati keluhuran agama Islam sebagai agama rasmi dan larangan menyebarkan dakyah agama bukan Islam kepada ummat Islam.

3)      PEMBINA menyatakan kebimbangan terhadap arus pluralisme dan liberalisme yang mempromosikan kesamarataan antara agama dan mencairkan pemikiran dan amalan ummat Islam. Insiden-insiden ketegangan antara agama yang kian berlangsung dilihat sebagai rentetan penularan pemikiran plural dan liberal dikalangan masyarakat. Ummat Islam harus menolak arus pemikiran ini bagi memelihara kesucian dan ketinggian agama dalam negara sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Keharmonian antara agama dan kaum dapat dipelihara sekiranya semua pihak menghormati undang-undang dan menjauhi sebarang provokasi atau tindakan yang boleh mengundang kontroversi. Semoga Allah SWT memelihara ummat Islam, khususnya di Malaysia dari sebarang fitnah yang boleh menggugat aqidah serta kestabilan dan keharmonian negara.

 

Kenyataan rasmi disediakan oleh:

 

Aizuddin Khalid

Naib Presiden I

Ketua Penerangan

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top