Di Ambang Ramadhan
Aku menyelusuri jalan..
Menyapa rejab yang sedang berlabuh
Aku melihat kiri dan kanan
Ada manusia yang angkuh
Ada manusia yang patuh
Ada juga manusia yang masih tidak terurus
Aku hanya mampu tersenyum pada rejab
Semoga manusia diberkati oleh Rabbul ‘izzati
Dan bakal bertemu ramadhan al-mubarak nanti
Aku berjalan dan terus berjalan
Dengan harapan islam terus dijulang
Kutemui syaaban di pertengahan
Katanya manusia masih lagi kecundang
Nafsu Ammarah masih menguasai diri
Namun,
Masih kujumpa sekumpulan hati-hati yang suci
Masih kutemui jiwa-jiwa yang bersih
Si hamba yang tidak harapkan lain kecuali redha Tuhannya
Jarumku meneruskan detikan
Melewati malam dan juga siang
Tiba-tiba aku terdengar satu seruan
Hayya ‘alassolah! Hayya ‘alassolah!
Hayya ‘alal falah! Hayya ‘alal falah!
Berkumandang di seluruh pelusuk dunia
Tanda ramadhan sudah menjelmakan wajahnya
Aku terpaku..
Yang dulunya patuh, angkuh, dan tidak terurus
Kini berduyun-duyun menuju ke arah yang sama
Semuanya bersatu di dalam mahligai Sang Pencipta
Saf-saf yang dulunya sunyi kini kembali ceria
Meraikan hamba yang tunduk dan sujud memuji Yang Maha Perkasa
Ramadhan..
Di situlah rahmat, di situlah berkat, di situlah muafakat
Lisan dijaga dengan penuh berhati-hati
Amalan dikoreksi supaya diterima Ilahi
Yang berjudi menyesali diri
Yang berzina turut menginsafi
Maha Suci Allah
Ramadhan menyatukan hati-hati mereka
Demi matlamat yang sama
Demi langkahan ke pintu syurgaNya
Demi menggapai redha Pencipta
Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan!
Sumber: PEMBINA Gombak