Kampus adalah pusat pencambahan ilmu dan membina peradaban. Segala aktiviti yang dilakukan berkaitan dengan kampus perlu mempunyai nilai-nilai kelimuan dan keaslian peradaban Islam.
Ancaman kampus semasa
Kampus kini menjadi tumpuan serangan pembawa ideologi-ideologi sesat untuk menyebarkan fahaman mereka. Liberalisme, Pluralisme, Sosialisme, Syiah dan sebagainya sudah menular masuk ke kampus-kampus secara halus dan mesti ditentang bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. PEMBINA mengambil peranan menyedarkan mahasiswa akan bahaya fahaman-fahaman ini dan berusaha mengembalikan jatidiri Islam kedalam diri mahasiswa kampus.
Kampus juga kini diserang dengan fahaman hendonisme dan kelesuan mahasiswa terhadap keprihatinan mereka berkaitan isu semasa. Virus yang menyerang ini dapat dirawat jika semua pihak terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kampus sedar dan mendapat kerjasama yang baik dengan pelbagai pihak berkaitan. Satu tindakan yang sinergi perlu disusun untuk membentuk suasana kampus yang sejahtera dan selamat.
PEMBINA menghantar wakil PRK 2013
Dengan kesedaran tersebut, PEMBINA dengan ini mengumumkan akan menghantar wakil untuk bertanding pada pilihanraya kampus 2013. Kami ingin menegaskan bahawa calon-calon yang bertanding tidak mewakili mana-mana kumpulan politik mahasiswa samada Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa. Agenda yang dibawa oleh PEMBINA lebih besar daripada sekadar pertembungan politik antara dua kumpulan ini. PEMBINA membawa agenda untuk mengembalikan neraca pemikiran mahasiswa Islam di Malaysia supaya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Oleh yang demikian, PEMBINA sentiasa membuka peluang kerjasama daripada pelbagai pihak untuk mendukung agenda ini. Kami amat sedar tujuan kami menyertai PRK bukanlah untuk kepentingan sesetengah pihak tapi untuk kepentingan Ummah khususnya mahasiswa. PEMBINA yakin pentas PRK ialah suatu medan yang akan mendidik kematangan mahasiswa dalam berpolitik. Kehadiran PEMBINA dalam medan politik kampus ialah salah satu bukti kemurnian demokrasi yang ditawarkan pihak universiti.
Manifesto PRK PEMBINA
PEMBINA tampil ke medan PRK dengan slogan “Meneraju Arus, Membangun Mahasiswa” yang membawa maksud PEMBINA tekad untuk bersama dengan pelbagai pihak untuk memimpin mahasiswa kearah kefahaman Islam yang tulen tanpa dicemari mana-mana fahaman yang menyeleweng.
PEMBINA meletakkan harapan yang tinggi agar agenda yang diketengahkan PEMBINA dapat diterima masyarakat kampus. PEMBINA juga akan berusaha memastikan calon-calon PEMBINA yang bertanding akan memenangi kerusi masing-masing.
Muhammad Uzair Izzat Amir Bin Muhammad
Jawatankuasa Politik Kampus PEMBINA
19 Oktober 2013