Kembara PEMBINA Melaka ke Negeri Sembilan

Nilai – Peristiwa serangan tentera Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza, Marvi Marmara telah membuka mata semua pihak terutama umat Islam secara amnya. Sejak serangan hebat ke atas rakyat Palestin di bumi Gaza pada awal tahun 2009, sebuah lagi serangan telah dilancarkan oleh Israel seterusnya menunjukkan betapa rakyat Islam di Palestin sangat memerlukan perhatian dan bantuan untuk meneruskan survival di muka bumi ini. Melihat keadaan ini, para golongan belia dari Multimedia University telah mengadakan program kembara ke Konsert Demimu Al-Aqsa (KONDAQ) yang telah dilangsungkan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus pada 17 Julai 2010.

Kembara PEMBINA ini telah disertai oleh pelajar-pelajar dari Multimedia University (MMU) dan UiTM Segamat. Konvoi telah dimulakan dengan solat Asar secara berjemaah di masjid Al-Irsyad MMU. Sebanyak 3 buah kereta dan sebuah MPV telah digunakan sepanjang program bagi membawa peserta berjumlah kira-kira 20 orang.

Konsert Demimu Al- Aqsa telah menampilkan kumpulan Shoutul Harakah, Mestika, Da’ie dan Interaksi yang telah menyanyikan lagu-lagu yang bertemakan perjuangan Palestin. Persembahan konsert telah diserikan lagi dengan deklamasi sajak yang telah disampaikan oleh Dr Lim Swee Tin dan Puan Nisah Haron. Penyampaian nasyid dan sajak ini telah disahut dengan sorakan penuh semangat daripada 3000 hadirin pada malam tersebut. Konsert Demimu Al-Aqsa ini merupakan program amal anjuran ISMA Seremban, PEMBINA Negeri Sembilan, Aman Palestin Berhad, KRIM dan PRAGMATIS USIM. Konsert berakhir pada jam 11.15 malam.

Konvoi kemudian bergerak ke rumah penginapan yang terletak di taman perumahan berdekatan dengan Stadium Tertutup Nilai. Selain daripada peserta kembara kali ini, para pelajar persediaan ke luar negara dari IPT lain turut menginap di rumah yang telah disediakan.

Hari kedua kembara telah diserikan dengan kuliah subuh yang telah disampaikan oleh Ustaz Sanusi Azmi, yang telah dijemput dengan kerjasama PEMBINA Negeri Sembilan. Beliau yang juga merupakan pensyarah USIM telah mengupas tajuk berkenaan bulan Rejab, Syaaban dan juga Ramadhan. 

Pada pagi tersebut, para peserta telah mengambil peluang untuk bersukan bersama-sama sahabat-sahabat PEMBINA Negeri Sembilan. Pada sesi penutup, wakil Kembara PEMBINA Melaka, Saudara Murshidi dan Saudara Nurul Aizam telah menyampaikan ucapan penghargaan kepada tuan rumah, manakala Saudara Adzim mewakili PEMBINA Negeri Sembilan telah menyampaikan ucapan beliau. Program berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai.

Kembara kemudian berkonvoi ke destinasi seterusnya iaitu Hutan Lipur Rekreasi Hulu Bendul, Kuala Pilah. Perjalanan dari Nilai mengambil masa kira-kira 45 minit. Di sana, para peserta telah mengambil peluang untuk bermandi-manda dan berekreasi di kawasan air terjun.

Destinasi terakhir kembara adalah kediaman Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I ISMA di Sikamat, Seremban.  Peserta telah disambut dengan ceria oleh tuan rumah. Antara perkongsian menarik yang telah disampaikan oleh beliau adalah pengalaman-pengalaman berharga perjalanan hidup beliau hingga ke hari ini. Selain itu, beliau turut mengupas isu Palestin, antaranya tentang kepelbagaian respons masyarakat mengenai isu Palestin. Diharapkan kunjungan ini dapat menyuntik semangat dan iltizam kepada para peserta kembara dalam mengharungi cabaran hidup. Peserta telah disajikan hidangan makan tengah hari oleh tuan rumah. Kembara bergerak pulang ke Melaka pada jam 4.00 petang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top