Menyedari kewujudan PEMBINA yang proaktif dalam menyusun aktiviti belia di negara ini, sekali lagi PEMBINA telah dijemput oleh JAKIM untuk menghantar ahlinya bagi mewakili Malaysia ke Program Bas Belia MABIMS ke 3 yang julung kalinya diadakan di Republik Indonesia selama 12 hari, bermula 25 September hingga 6 Oktober 2011 yang lalu bertemakan “Perkukuh Iman, Pererat Tali Persaudaraan, Menyebar Ihsan”.
Seramai 70 orang delegasi yang terdiri daripada Brunei (12), Singapura (12), Indonesia (34) dan tiga orang ahli PEMBINA bersama-sama 7 orang lagi wakil NGO Islam daripada PKPIM, ABIM, Dewan Pemuda Masjid dan WAMY dengan diiringi 2 orang pegawai dari JAKIM, Ustaz Lukman Ibrahim dan Ustaz Imran Rahman, telah diberi peluang untuk mewakili Malaysia sebagai menyahut saranan Allah agar mengembara di muka bumi yang bermaksud:
“Katakanlah: Berjalanlah kamu di muka bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah memulai penciptaan (makhluk), kemudian Allah menjadikan kejadian yang akhir (Hari Kebangkitan). Sungguh, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (al Ankabut : 20)
Kembara ke bumi Republik Indonesia memberi kami peluang melihat sendiri adat dan budaya sebuah negara unik yang di dalamnya wujud keberagaman budaya dan agama. Perjalanan kami dimulai dengan Majlis Pelepasan Rasmi BBM 2011 yang disempurnakan oleh Menteri Agama Republik Indonesia YTH Suryadharma Ali pada 26 September 2011 di perkarangan Kementerian Agama Indonesia.
Di Jakarta, kami berpeluang melawat Masjid Istiqlal, UIN Syarif Hidayatullah, Kampus Pondok Pesantren Darunnajah dan Taman Mini Indonesia Indah. Sebuah sesi perkongsian berkenaan Kementerian Agama Indonesia telah disampaikan oleh Prof. Dr. H. M. Atho Mudzhar memberi kami maklumat bagaimana institusi kementerian itu berfungsi dalam mengelolakan keberagaman agama yang wujud di Republik Indonesia.
Kembara kami diteruskan ke Yogyakarta dengan masa perjalanan 12 jam menaiki dua buah bas. Di sana, kami berpeluang melawat lokasi bencana letusan Gunung Merapi dan melihat sendiri kesan tragedi yang menyayat hati. Pemandangan yang menginsafkan itu lantas mengingatkan kami akan kekuasaan dan peringatan Allah berkenaan kejadian Hari Kiamat yang dijanjikan.
Di Yogyakarta juga kami berpeluang mengenali kebudayaan dan tradisi masyarakat Jawa Indonesia melalui kunjungan ke Candi Borobudur dan menyaksikan persembahan Tarian Ramayana berlatar belakangkan Candi Parambanan.
Kembara kami diteruskan lagi ke Jawa Timur, menaiki feri ke Bali dan Mataram dengan lawatan ke beberapa institusi pendidikan seperti Pondok Pesantren Putri Gontor 1, UIN Maulana Malik Ibrahim Malang, Pondok Pesantren Diponegoro (Bali), Pondok Pesantren Darun Nahdlatain Nahdlatul Wathan, Pondok Pesantren Qomarul Huda, Pondok Pesantren Al-Aziziyah dan Madrasah Tsanawiyah Nurul Yaqin Gili Air. Kami juga berpeluang menziarahi makam K.H Abdurrahman Wahid (Gus Dur) di Makam Pahlawan Nasional, Jombang.
Secara keseluruhan, kami mendapati institusi pendidikan yang ditubuhkan berasaskan Al-Qur’an di Republik Indonesia memainkan peranan penting sebagai medium pembelajaran dan pembentukan Muslim yang sejahtera aqidahnya bagi menangkis ancaman terhadap aqidah anak-anak Muslim Indonesia di tengah arus moden yang mencabar.
Muhammad Muallif , 35, Ketua Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa Universiti Islam Negeri (UIN) Malang berkongsi kejayaan universiti itu dalam pendidikan mahasiswanya:
“Kebijakan Prof Dr Hj Imam Suprayogo, pendiri (pengasas) UIN Malang yang mendapat asal pendidikan khas Muhammadiah, membentuk kurikulum yang mampu membentuk mahasiswa yang hafiz Al-Qur’an, cinta kepada agama dan perjuangan tanah airnya.”
Dewi Agustina Item, 27, Guru Pondok Pesantren Diponegoro, Bali juga berkongsi latar belakang pengasasnya, Mustafid Amna LC (yang kini dalam proses menyiapkan PHd di UIN Malang) yang bercita-cita:
“Aku ingin melahirkan anak-anak singa yang mampu mengangkat martabat agama dan ponpes ini menjadi markas mencapai cita-citaku. Al-Qur’an itu minimanya dihafal, maksimanya difahami.”
Kembara kami yang berakhir di Mataram diakhiri dengan majlis perasmian penutup oleh Setjen Kementerian Agama Republik Indonesia, Bpk Badrul Hayat di Hotel Santosa, Senggili, Mataram.
Alhamdulillah sepanjang kembara ini tiada perkara yang tidak diingini berlaku dengan perlindungan Allah jua. Semoga kembara selama 12 hari ini memberi pengalaman berharga dan meluaskan pandangan kami dalam amal dakwah bersama belia di Malaysia. Semoga ikatan ukhuwah yang terjalin bersama delegasi negara-negara MABIMS tetap erat dengan izin Allah.
Delegasi PEMBINA,
Abdul Hakim Adzman (JK Media dan Promosi Pusat)
Mohd Nor Adzim b Shaari (Pengerusi Cawangan Negeri Sembilan)
Khairunnisa Mazlan (JK Aktivisme Mahasiswa Cawangan Shah Alam)
Jakarta-Yogyakarta-Jawa Timur-Bali-Mataram