Hudud : Belia Tidak Harus Terlibat Dalam Perdebatan, Bina Jatidiri dan Mekanisme

BANGI, 27 Oktober 2011 – Belia Islam di Malaysia digesa agar tidak terpengaruh dan terlibat di dalam perdebatan politik berkaitan isu pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia. Perdebatan ilmiah berkenaan isu berkenaan seharusnya diadakan di dalam lingkungan mereka yang benar-benar berkeahlian, mempunyai pengalaman luas dan pakar dalam menggubal dan melaksana undang-undang di negara kita, ujar Ust Salman Abdul Rahman, Setiausaha Agung PEMBINA, ketika ditemui wartawan MediaPEMBINA untuk mengulas isu Hudud yang sedang hangat diperkatakan.

Beliau juga ketika ditemui berpandangan, golongan belia yang terdiri daripada mahasiswa dan yang telah bekerjaya seharusnya lebih menumpukan usaha dan perbincangan dalam membina jatidiri belia Islam sejati sebagai satu aspek terpenting dalam penguatkuasaan undang-undang itu nanti di masa hadapan. Pelaksanaan undang-undang Hudud di Malaysia nanti memerlukan kepada penggubal, hakim mahkamah syar’ie, peguam syar’ie, agensi penguatkuasa dan agensi pelaksana yang arif berkenaan selok-belok hudud sebagaimana yang bertepatan dengan syara’.

“Mahasiswa undang-undang kita di Malaysia yang beragama Islam tidak kira yang di bidang undang-undang Syari’ah atau sivil, seharusnya menjadikan masa sekarang sebagai masa yang kritikal untuk mempersiap dan memperlengkapkan mekanisme-mekanisme pelaksanaan undang-undang syari’ah beserta penguatkuasaannya di Malaysia secara menyeluruh. Penggubalan, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Syari’ah termasuk undang-undang hudud memerlukan kepada sumber manusia yang arif tentang Syari’ah dalam kapasiti yang ramai, agar apabila ia dipraktiskan nanti, ia benar-benar dapat mencerminkan keindahan dan manfaat kepada rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

“Belia dan mahasiswa Islam seharusnya berhenti berdebat dan berpolemik, sebaliknya gigih membangun jatidiri mereka dan membuat persiapan untuk mendokong pelaksanaan undang-undang Syariah dan Hudud di masa hadapan,” jawab beliau ketika ditanya berkenaan peranan belia Islam dalam isu hudud berkenaan mengakhiri sesi wawancara.

Dalam Wacana Sinar Harian bertajuk Hudud : Dilema & Pelaksanaannya, Profesor Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah telah menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang Syariah termasuk undang-undang Hudud menuntut agar umat Islam bersatu dan meninggalkan polemik-polemik yang banyak membuang masa dan tidak produktif.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top