Analisa Siswa 1: Tentang HIMPUN

Pada 22 Oktober yang lalu, telah tercipta satu sejarah baru di bumi Malaysia yang kita cintai ini. Perhimpunan Sejuta Umat anjuran bersama lebih dari puluhan malah ratusan NGO yang mewakili gerakan Islam dan suara Umat Islam di Malaysia berjaya diadakan.

Jika dilihat pada laporan-laporan yang diberikan oleh media massa, ada yang meletakkan angka hadirin 500, 1000, dan yang paling tinggi ialah 10,000. Alhamdulillah, menurut perangkaan yang disediakan oleh pihak pengurusan Stadium, lebih 20,000 hadirin dilaporkan memenuhi stadium pada hari bersejarah tersebut. Bukan nilai angka yang ingin saya bincangkan di sini. Sebaliknya, saya ingin membawa kita semua menyelusuri sebab apa HIMPUN itu dilaksanakan, tujuannya serta kesan jangka pendek dan jangka panjang.

Isu pengunaan kalimah Allah oleh sebuah majalah berkala terbitan sebuah institusi agama bukan Islam di Sarawak tidak lama dahulu mengundang perbincangan dan perdebatan hangat yang melibatkan banyak pihak. Pihak yang menyokong kebanyakannya membawa hujah kisah saidina Umar al-Khattab manakala yang menentang pula membawa tafsiran surah al-Ikhlas dan beberapa hujah lain. Dewan Rakyat turut bergoncang hebat. Sehinggalah isu ini diputuskan oleh mahkamah maka perkara senyap seketika.

Serbuan ke atas sebuah pusat agama di Damansara oleh pihak berkuasa agama Islam baru-baru ini mengundang banyak perhatian dari pelbagai pihak. Ada yang membawa hujah bahawa Islam ini ialah agama hujah dan tertegak dengan hujah, dan tindakan penyerbuaan ini sebagai satu tindakan yang melanggar hak kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita. Pihak yang menyokong tindakan itu pula bagaikan tidak mampu menahan perasaan ragu-ragu mereka di atas  penganjuran majlis itu setelah beberapa pendedahan mengejutkan  didedah di media massa. Selain itu, isu tuntutan IFC, Kes Lina Joy dan beberapa lagi isu lain yang berkaitan.

Saya melihat HIMPUN ini sebagai seolah-olah satu manifestasi kekecewaan NGO-NGO Islam dalam reaksi dan tindakan kedua-dua pihak, Kerajaan dan Pembangkang dalam menyelesaikan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama umat Islam yang berjumlah hampir 15 juta ini. Mereka seperti mewakili suara-suara umat Islam yang sudah tidak mampu menahan rasa tidak senang mereka terhadap situasi yang sedang berlaku ini.

Pada pendapat saya, atas dasar itulah HIMPUN ditubuhkan. Diterajui oleh beberapa NGO Islam yang menyedari betapa pentingnya untuk umat Islam di Malaysia khususnya agar menyedari ancaman besar yang sedang melanda mereka iaitu murtad dan usaha menghilangkan jati diri Muslim dalam diri setiap Muslim di Malaysia.

Setelah melakukan penelitian terhadap sepuluh deklarasi yang dipersetujui hasil program ini, saya mendapati tiada sebarang tuntutan ekstremis atau melampau yang dikemukakan. Apa yang dituntut hanyalah kepatuhan kembali kepada perlembagaan Malaysia yang telah diperetujui oleh semua pihak kita tuntutan kemerdekaan berlaku. Antara perkara lain yang ditekankan ialah sikap saling hormat-menghormati antara rakyat yang berlainan agama, menghormati peranan Sultan dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam negeri, menjaga sensitiviti umat Islam dan beberapa tuntutan-tuntuan lain yang menuntut kepada kebajikan umat Islam keseluruhannnya. Tidak kedengaran istilah-istilah provokasi, yang menyentuh mana-mana agama mahupun laungan perang terhadap orang bukan Islam apatah lagi kalimah-kalimah kebenciaan terhadap penganut agama lain.

Akhirnya, saya melihat HIMPUN ini sebagai satu wadah atau platform yang sangat positif untuk mengembalikan semula kesatuan umat Islam di Malaysia yang semakin lama semakin terhakis agar isu seperti murtad, gejala sosial dan  dapat diatasi. Saya juga melihat kepada perlunya golongan belia terutamanya mahasiswa untuk mengembalikan semula jatidiri muslim dalam diri setiap mereka. Ini adalah kerana mahasiswa dan belia merupakan satu aset yang sangat penting untuk memacu negara dan umat yang kita cintai ini kearah masa depan yang lebih gemilang.

Oleh,

Mohd Zul Fahmi bin Md Bahrudin

Aktivis PEMBINA Shah Alam

 

 Dipetik dari: 

*Analisa Siswa merupakan satu medium bagi para belia khususnya mahasiswa/siswi muslim untuk menulis tentang isu – isu semasa yang berlaku di Malaysia khususnya dan seluruh dunia umumnya. 

*Artikel ini adalah bersifat pandangan peribadi penulis.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top