Tanggal Sabtu, 24 Mei 2008 mencatatkan satu lagi aktiviti penting dalam diari Kelab Remaja Isma (KRIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan negeri Johor. Bertempat di Nurfa Farmstay, Pekan Nanas, Johor, KRIM telah menganjurkan Kem Motivasi Insan Cemerlang bagi para pelajar sekolah menengah dan rendah bukan sahaja dari sekitar Johor Bahru, malah para pelajar dari Melaka. Kem ini yang memfokuskan pembinaan jati diri serta pemantapan akhlak remaja Islam mendapat sambutan hangat berbanding kem-kem terdahulu, di mana bilangan peserta kali ini mencecah hampir 120 orang.
Aktiviti kem dimulai dengan pembentukan kumpulan-kumpulan kecil dan ‘ice-breaking’ bagi menyesuaikan para peserta dengan rakan-rakan baru. Beberapa siri ceramah dan pembentangan telah disampaikan oleh penceramah jemputan, PEMBINA dan juga dari ISMA. Tajuk-tajuk ceramah seperti 3 Persoalan Asas Hidup dan Pesan Luqman Al Hakim telah dibengkelkan oleh para peserta bagi memudahkan kefahaman dan memupuk bibit-bibit syura; boleh bekerja dan bertolak ansur dalam kumpulan. Aktiviti di sebelah malam lebih banyak berkonsepkan persoalan spiritual dan ruhiyyah, menyentuh jiwa dan sanubari para peserta agar menginsafi kelahiran dan tanggungjawab mereka di bumi Allah ini. Para peserta kemudiannya dibawa meredah kegelapan malam dalam aktiviti “Kembara Malam” bagi mencari rakan misteri mereka yang “hilang”. Aktiviti pada hari Ahad lebih bersifat outdoor; jungle trekking ke kaki Gunung Pulai dan beriadah di jeram yang berhampiran.
Pelbagai riaksi yang menarik telah dapat dirakamkan sepanjang kem ini. Menurut salah seorang peserta, Mohamad Shardi bin Mohd Rahim “Saya dapat berjumpa rakan-rakan baru dan kem ini membuka minda saya dalam melihat apakah makna Islam dalam kehidupan seharian saya”. Menurut Pengarah Kem Cikgu Ismail bin Ali pula, adalah menjadi satu harapan melihat keseluruhan peserta dapat menghayati sepenuhnya objektif-objektif kem disamping dapat menjalinkan ukhuwwah dengan rakan-rakan baru. Semoga KRIM dan PEMBINA Johor dapat meneruskan program-program seumpama ini di masa-masa hadapan, Insya-Allah.
Fitri Ezwan
Wartawan PEMBINA Johor