SHAH ALAM, Selangor,Mei 2008, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) pada 16 hingga 17 Mei 2008 yang lalu telah menganjurkan satu Seminar khusus kepada ahli PEMBINA yang berpotensi bagi meningkatkan kefahaman mengenai methodologi dakwah kepada golongan belia. Lebih menarik pada seminar kali ini para peserta diberi peluang untuk mengutarakan pendapat masing-masing mengenai permasalahan dan kaedah yang sesuai diguna pakai untuk dakwah kepada golongan sasar sesuai dengan keadaan di kawasan masing-masing melalui sesi bengkel dalam kumpulan kecil yang diketuai oleh penggerak belia kawasan yang lebih berpengalaman.
Hasil perbincangan kumpulan dibentangkan kepada semua peserta dan diselia oleh para juri yang dilantik. Para juri bebas untuk menyoal balas semula semua cadangan-cadangan yang diutarakan oleh wakil kumpulan. Pada keseluruhanya seminar yang telah dihadiri oleh seramai 130 orang ahli PEMBINA ini lebih bersifat praktikal yang berkisar kepada kaedah-kaedah dakwah praktikal dan perancangan dakwah bersesuaian yang akan dilaksanakan di kawasan masing-masing.
Seminar ini diakhiri dengan sesi Bersama Jawatankuasa PEMBINA Pusat yang membentangkan isu-isu dan perkembangan terkini PEMBINA untuk makluman semua ahli yang hadir.