Wartawan: Mohd Haziqq bin Mohd Isa
CYBERJAYA, 26 April- “Kehadiran Barrack Obama ke Malaysia sebenarnya menimbulkan beberapa persoalan kesangsian kerana kali terakhir presiden Amerika Syarikat melawat Malaysia ialah pada tahun 1966” kata Ustaz Ibrahim Mohd Hasan, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) ketika ditemui selepas Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS).
Beliau juga berkata untuk seorang presiden Amerika melawat sesebuah negara bukanlah satu perkara yang mudah dan semestinya kehadirannya ke Malaysia mempunyai sesuatu matlamat sama ada berkaitan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ataupun isu COMANGO.
Ketika ditanya berkenaan laporan media yang mengatakan presiden Amerika itu ingin bertemu dengan badan pertubuhan bukan kerajaan (NG0) seperti Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), Islamic Renaissance Front (IRF) dan Sisters in Islam (SIS), beliau berpendapat bahawa pertemuan tersebut menimbulkan persoalan.
Hal ini kerana, BERSIH, IRF, SIS merupakan NGO liberal dan sudah semestinya bertujuan untuk mengangkat NGO tersebut supaya tuntutan mereka lebih didengari.
“Lawatan Obama terhadap pertubuhan-pertubuhan liberal tersebut secara tidak langsung boleh dikatakan, mereka sedang memberi tekanan kepada Najib supaya memberi sedikit penghormatan kepada NGO-NGO tersebut supaya perhatian tertumpu kearah mereka sama ada dengan menerima desakan, menghormati keputusan, melayan mereka dan sebagainya dan saya melihat ini sebagai satu perkara yang bahaya yang mana kalau kita tengok gerakan-gerakan ini secara konsistennya cuba untuk menerapkan idealogi-idealogi liberal” tegasnya lagi.
Tambah beliau lagi, perjumpaan dengan kumpulan tersebut memberi gambaran tentang sokongan dan pengiktirafan pihak Amerika terhadap agenda-agenda liberal pertubuhan tersebut .
Hal ini jelas dengan tidak ada perjumpaan yang dibuat oleh Presiden Amerika itu dengan pertubuhan-pertubuhan Islam.
“IRF dan SIS bukanlah sebuah pertubuhan Islam dan perkara ini boleh dilihat dari kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan”,katanya.
Di samping itu, Ustaz Muhammad Ibrahim juga berpesan supaya tidak berasa teruja dengan kedatangan presiden Amerika ke Malaysia yang dijadualkan melakukan lawatan kerja tiga hari yang bermula hari ini.
“Sesetengah dari kita berasa teruja menyambut kedatangan Obama, tetapi jangan kita tertipu dan begitu naïf dengan kehadiran Obama ke Malaysia ini kerana kehadirannya pasti mempunyai satu agenda dan juga diharapkan perdana menteri kita, Datuk Seri Najib Razak tidak kalah dengan tekanan kehadiran Barrack Obama untuk menerima agendanya” pesannya.