KUALA LUMPUR, 1Mei-Banyak perbahasan perihal keadaan umat antarabangsa dibincangkan, dibahaskan dan dicadangkan dalam mencari penyelesaian masalah umat pada hari ini terutamanya soal pemuda.
“Persoalan yang perlu dijawab banyak, namun fokus utama saya adalah, apa untuk pemuda disebalik perbincangan ini”, tegas Ustaz Suhail Sufian Mohd Sufian, Setiusaha Agung (SUA) Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang menjadi wakil ke Persidangan Antarabangsa Pemikir – pemikir Islam (IMTC 2014).
Beliau menyatakan tentang beberapa perkara yang perlu diambil serius oleh semua umat Islam dan pejuang Islam secara khusus, dalam perihal bagaimana kejelasan dan kemampuan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam mendepani keadaan semasa.
Tambahnya, perkara yang paling ditekankan sepanjang persidangan ini, adalah tentang kejelasan tujuan dan strategi serta kekuatan merujuk kembali kepada Al-quran dan As-sunnah.
Hal ini kerana, pemahaman kepada penyelesaian isu umat perlu kembali kepada sumber- sumber ini.
Pemuda, adakah harapan hari esok?
Pada masa yang sama, beliau membangkitkan isu berkenaan beban yang dipikul oleh gerakan Islam yang bersifat global, perbincangan dan pemahamannya bersifat global seterusnya pejuangnya perlu ada kekuatan dan kesungguhan pada tahap global kerana musuh begitu teliti untuk memporak perandakan umat Islam.
“Mereka dengan dana dan tenaga yang ada digembleng sepenuhnya untuk memusnahkan umat Islam”, katanya.
Oleh itu, beliau mempersoalkan tentang keadaan pemuda yang boleh dijadikan harapan untuk membincangkan masalah umat yang memerlukan kualiti yang tinggi.
“Semua perkara diatas memerlukan sejenis kualiti yang tinggi untuk dibincangkan apatah lagi dilakukan, dengan keadaan pemuda hari ini adakah mereka boleh diletakkan sebagai harapan hari esok?”, soalnya.
“Malah dengan kelemahan bacaan, kelembikan jiwa, kemalasan berfikir dan sekadar bersemangat, adakah semangat itu mampu merubah dunia dan memimpin umat?”, soalnya lagi.
Malah lebih teruk dari itu boleh dikatakan isu semangat untuk Islam itu sendiri makin kabur dan tidak tentu arah.
“Maka dimanakah pemuda dengan semua perbincangan diatas dan mampukah perbincangan diatas diterjemahkan dalam nadi pemuda?”
“Ini persoalan yang wajib dijawab oleh semua pemuda”, tegas Ustaz Suhail menutup bicara.
** IMTC merupakan konvensyen anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Persidangan Antarabangsa Pemikir-pemikir Islam (IMTC 2014) dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Yayasan Malaysia-Turki (MTF) dan Pusat Perhubungan Turki-Arab (TAIM).
Sidang antarabangsa ini berlangsung selama dua hari yang membincangkan isu pembangunan demokrasi di dunia Islam khususnya di Timur Tengah.