Kenyataan Media – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
PEMBELA alu-alukan reaksi positif usaha melaksanakan hukum hudud oleh Kerajaan Kelantan
28 Jamadil Akhir 1435H / 28 April 2014M
Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Malaysia yang merupakan di antara gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam utama di Malaysia mengalu-alukan reaksi positif daripada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan di dalam menggerakkan usaha ke arah merealisasikan perlaksanaan undang-undang syariah berdasarkan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993.
Hal ini jelas menggambarkan kesungguhan pihak pemerintah yang ingin melihat keadilan hukum Islam terlaksana di Malaysia. Sikap dan pendirian Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan ini dilihat mengatasi kepentingan politik kepartian serta mencerminkan niat untuk bermuafakat di dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
Hasrat untuk merealisasikan perlaksanaan aspek undang-undang syariah di Malaysia seharusnya disambut dengan baik semua lapisan masyarakat, termasuk golongan bukan Islam. Hal ini kerana proses penggubalan undang-undang tersebut dilakukan melalui sistem demokrasi. Malah, seruan pihak Kerajaan Pusat agar Rang Undang-Undang Persendirian diperkenalkan untuk tujuan perbahasan di peringkat Dewan Rakyat menggambarkan bahawa tiada pihak yang mengenepikan proses demokrasi yang sekian lama menjadi tiang untuk mencapai konsensus berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru itu, inisiatif yang bakal diambil Kerajaan Kelantan hendaklah dihormati dan diberikan ruang sepenuhnya oleh semua pihak, khususnya para ahli parlimen yang akan menentukan kedudukan rang undang-undang tersebut demi kebaikan bersama.
Pada tahap ini, PEMBELA sangat menganjurkan permuafakatan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan di dalam merungkai isu-isu yang sedang dihadapi berkaitan usaha tersebut. Jika usaha ini diteruskan, permuafakatan umat Islam secara keseluruhannya akan menjadi khabar gembira bagi seluruh lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Pada hakikatnya, sebagai kaum teras di negara ini, perpaduan Melayu-Islam akan memperkukuh hasrat semua untuk memperkasa mana-mana insiatif ke arah perpaduan antara kaum secara keseluruhannya. Jika perpaduan di kalangan umat Melayu-Islam adalah lemah, maka usaha lain untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia juga sukar untuk dizahirkan.
PEMBELA juga ingin menyarankan agar aspek-aspek teknikal cadangan perlaksanaan hudud diperkemaskan dengan cara memanfaatkan kepakaran sedia ada di kalangan pakar-pakar syariah dan perundangan yang telahpun sekian lama menjalankan usaha mereka memperbaiki pentadbiran dan kandungan undang-undang syariah di negara ini.
Selain itu, usaha mendidik masyarakat mesti terus diperkasakan, di samping menyemarakkan prakarsa nahi munkar bagi menghapuskan punca-punca maksiat dan jenayah yang sangat membimbangkan dan berleluasa di kalangan masyarakat mutakhir ini.
Usaha yang seiring dapat mengelak fitnah terhadap perlaksanaan hukum hudud sekaligus memperbetulkan prasangka terhadap Islam di kalangan segelintir masyarakat bukan Islam melalui keadilan dan kemurnian undang-undang syariah Islam.
Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin
Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)