Tersentak rasanya membaca perihal berita bayi ditemui dalam lubang tandas beberapa hari yang lepas di dada akhbar. Sebahagian daripada badannya sudahpun berada dalm lubang tandas, dalam keadaan sedang menghisap jari dipercayai kerana lapar. Walaupun bukan kali pertama mendengar kisah sedemikian rupa, namun masih tidak dapat memahami apa yang menyebabkan jasad yang lemah dan tidak bermaya diperlakukan sedemikian rupa. Ke manakah hilangnya kasih dan sayang?
Yang muda disayangi..
Tatkala membaca perihal Rasulullah dan orang yang lebih muda dari baginda, terasa amat kagum dan takjub. Seorang Nabi yang memikul tanggungjawab yang berat, bahkan jauh lebih berat daripada yang mampu dibayangkan oleh akal fikiran, tetapi tidak pernah memandang remeh kepada mereka yang lebih muda. Tiada pernah rasa agkuh, atau merasa malu untuk bergaul dan menyayangi mereka.
Dari Anas bin Malik Radhiallaahu anhu ia berkata: “Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam pernah membawa putra beliau bernama Ibrahim, kemudian mengucup dan menciumnya.” (HR. Al-Bukhari)
Kedatangan Islam sememangnya membawa rahmat kepada seluruh alam. Bukan hanya meliputi orang yang miskin dan tidak berupaya, bahkan kepada kanak-kanak dan anak-anak kecil. Meskipun anak-anak kecil seringkali merengek dan banyak kerenah, namun Rasulullah tidak pernah membentak, memarahi apatah lagi memukul mereka.
Anas bin Malik Radhiallaahu anhu menuturkan: “Rasulullah sering bermain-main dengan Zainab, putri Ummu Salamah Radhiallaahu anha, beliau memanggilnya dengan: “Ya Zuwainab, Ya Zuwainab, berulang kali.” (Zuwainab artinya: Zainab kecil) (Lihat Silsilah Hadits Shahih no.2141 dan Shahih Al-Jami’ 5-25)
Rasulullah S.A.W pernah mendukung cucu baginda Umamah di atas pundak baginda sewaktu solat sewaktu Umamah masih kecil. Al-Hasan dan Al-Husain pernah menunggang belakang baginda ketika Baginda sedang sujud, lalu Baginda memanjangkan sujud kerana mahu membiarkan telatah mereka. Apabila baginda pulang dari musafir, kanak-kanak bersegera mengerumuni Baginda sehingga baginda melihat dan mengambil mereka. Ada kanak-kanak yang menaiki belakang Baginda dan ada yang di hadapannya.
Bahkan rasulullah S.A.W sentiasa memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak, bukan sekadar bertemu dan bergurau senda dengan mereka.
Abdullah bin Abbas menuturkan: “Suatu hari aku berada di belakang Nabi Shallallaahu alaihi wa Salam beliau bersabda: “Wahai anak, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: “Jagalah (perintah) Allah, pasti Allah akan menjagamu. Jagalah (perintah) Allah, pasti kamu selalu mendapatkan-Nya di hadapanmu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah, jika kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah.” (HR. At-Tirmidzi)
Suatu Peringatan
Lalu apakah yang boleh menyebabkan seorang insan tergamak untuk memperlakukan perkara sedemikian rupa kepada seorang bayi yang baru sejenak melihat dunia? tidak lain tidak bukan ialah hati yang kosong daripada perasaan kasih sayang. Tidak kira siapa jua yang melakukan perbuatan ini, Islam tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk kekejaman dan penganiayaan kepada setiap hambaNya yang bernyawa. Semoga Allah Ta’la menjauhkan hati-hati kita dari perasaan benci dan penyakit-penyakit hati yang lainnya, sehingga kita mampu mencontohi Baginda S.A.W dalam setiap aspek perlakuan dan amal kita.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahwa suatu ketika Rasulullah saw. mencium Hasan bin Ali dan didekatnya ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi sedang duduk. Al-Aqra’ kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh orang anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah S.A.W. segera memandang kepadanya dan berkata, “Man laa yarham laa yurham (barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi) (Bukhari dan Muslim)