Kemanakah Akan Dunia Membawa Remaja Islam?

“Cuba bacakan pengajaran daripada pantun tadi,” pinta saya kepada salah seorang pelajar tingkatan 1 petang itu.

Sambil menatap buku nota yang dibekalkan oleh pusat tuisyen tempat saya bekerja, pelajar itu membacakan pengajaran daripada pantun-pantun yang dipelajarinya.

“Kita mestilah bertoleransi dalam semua perkara…”

‘Semua perkara?’ hati bergetar mendengar ayat berunsur overgeneralization itu. Terus saya memintas murid saya yang seorang ini, memberi penerangan kepada semua yang hadir di dalam kelas ketika itu.

“Cikgu tidak berapa bersetuju dengan pernyataan tadi: ‘Kita mestilah bertoleransi dalam semua perkara.’ Ya, dalam sesetengah perkara kita perlu bertoleransi. Tetapi bukan semua perkara. Pada cikgu, dalam hal-hal yang melibatkan prinsip dan kepercayaan, kita mesti bertegas,” ujar saya. Bagi yang mendengar, mereka memberi perhatian yang tidak mencapah, sepemerhatian saya.

Para pelajar kelas tingkatan 1 ini saya kagumi kerana tahap pemikiran dan respons daripada mereka yang terkehadapan. Mereka tidak menampakkan sifat keanak-anakan sungguhpun tidaklah menjadi sesuatu yang menghairankan sekiranya mereka berkelakuan demikian. Tambahan pula mereka ini sebenarnya hanya akan memasuki sekolah menengah tahun hadapan. Baru sahaja selesai menduduki UPSR. Tetapi saya sudah selesa berbicara hal-hal yang lebih serius dan dewasa bersama mereka.

“Sebagai contoh kita orang Islam, kita mempunyai kepercayaan dan pegangan kita. Begitu juga dengan Kritigan (salah seorang pelajar saya), dia mempunyai kepercayaannya yang tersendiri. Jika ada perkara-perkara yang bertentangan dengan pegangan, kepercayaan dan prinsip kita, maka tidak ada salahnya kita bertegas. Tetapi perlulah ketegasan itu disampaikan dengan cara yang berhikmah,” Ulas saya panjang lebar.

Hati saya berdesis. ‘Bagaimana penulis buku latihan ini boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa?’ Seolah-olah pendidikan anak-anak ini dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Mungkn berjangkit penyakit ‘asalkan ada’ atau lebih kronik lagi terkena sindrom ‘ilmu itu wang’ lalu ilmu dijadikan barang komoditi.

Rentetan daripada peristiwa itu, saya memerhatikan beberapa lagi perkara yang bersangkutan dengan pendidikan anak-anak. Kebanyakannya menimbulkan kerisauan tentang kesan perkara-perkara seumpama ini kepada anak-anak. Di celah-celah kegusaran itu, tumbuh pula pucuk-pucuk muda semangat saya untuk berusaha memikirkan jalan-jalan penyelesaiannya (insya-Allah).

Hello. Good morning!

Keesokan harinya, saya masuk untuk mengajar pelajar tahun 1 dan 2. Kedua-dua periode berasingan itu berinti subjek bahasa Inggeris.

Ketika mengajar murid-murid darjah 1, saya berjumpa dengan satu latihan yang menyebabkan hati saya kurang senang.

He says _____________when he wakes up.

Jawapan yang disediakan: ‘Good morning

Hati saya berkata, ‘Alangkah baiknya ucapan Good morning ini berganti dengan Alhamdulillah. Alangkah baiknya ucapan Alhamdulillah ini yang ditancapkan dalam pemikiran anak-anak kecil dihadapan saya.’

He says______________when he meets his friend.

Jawapan yang disediakan: ‘Hello’

Hati saya berkata lagi, ‘Alangkah baiknya ucapan Hello ini berganti dengan Assalammu’alaikum. Alangkah baiknya benih ucapan Assalammu’alaikum ini yang disemai dalam batas amalan anak-anak kecil ini. Agar nanti bila tiba masanya benih ini akan bercambah dan menjadi pokok yang sihat, membuah hasil yakni dalam bentuk amal Islami.

Isunya bukan anti-Barat. Isunya Islam sudah sedia lengkap.

Pernah saya nyatakan dalam entri saya sebelum ini yang saya bukanlah seorang yang anti-Barat. Tetapi, keyakinan saya ada pada ajaran Islam yang saya anuti. Saya yakin yang Islam itu telah sedia syumul(lengkap)
dan apa-apa yang terkandung dalam ajaran suci ini perlu diajarkan kepada manusia, lebih-lebih lagi generasi yang akan mewarisi dunia di masa-masa kegawatan akhir zaman ini. Dan pengajaran itu perlu bermula sedari kecil lagi. Sejak rebung lagi.

Apa gunanya ajaran-ajaran Islam yang diakui syumul oleh kebanyakan Muslim sekiranya tidak diajar dan diamalkan?

Sia-sia.

Malahan dalam setiap syariat yang dikandung Islam itu punya manfaat yang besar buat sekalian manusia bila dipraktikkan. Tinggal mahu atau tidak sahaja.

Itu antara hal yang saya kira boleh diperbaiki dalam sistem pembelajaran kita sungguhpun hal itu tidak semudah mengetik papan kekunci menulis artikel ini.

Tidak Hanya Pada Buku

Gambar-gambar kartun yang tidak soleh boleh menjadi pujaan dan ikutan kepada anak-anak

Isu pendidikan anak-anak bukan setakat melekat pada helai-helai buku akademik. Dunia sekitar, pada saya, pasti banyak memainkan peranan dalam membentuk pola pemikiran dan keperibadian seorang manusia dan hal ini bermula sejak kecil lagi. Bukankah anak-anak kecil itu belajar dengan mencontohi(meniru) apa-apa yang ada disekitarnya?

Hari ini, apa yang terhidang di hadapan anak-anak? Ke mana dunia membawa mereka? Jangan menyangka bahawa dengan keadaan kita aman tanpa peperangan fizikal kita akan selamanya selamat. Kita sebenarnya juga sedang berperang dengan aturan pihak-pihak yang tidak menyenangi Islam. Perang psikologi atau ghazwatul fikr. Salah satu bentuk neokolonialisme, penjajahan dengan metadologi baharu.

Serangan Bertubi-tubi

Hingga ke tempat tidur!

Perkakasan sekolah…

Rancangan-rancangan hiburan di televisyen…

Inikah qudwah hasanah?

Penampan

Maka apakah penampan(penahan/benteng) bagi kita umat Islam dalam mendepani cabaran ini?

Di sana wujud peluang untuk beramal ibadah. Menambah catatan amal soleh dan sekaligus memenuhi kebutuhan dunia. Perniagaan untuk menghasilkan barang-barang seumpama ini dengan menonjolkan output yang lebih menepati syarak dan unsur kesenian Islam. Peluang pula terbentang luas daripada penghasilan barang mainan, penghasilan animasi hingga menghasilkan rujukan ilmiah anak-anak. Hal ini pada amatan saya amat penting kerana ibu bapa muslim kekurangan alternatif dalam menyediakan bahan pendidikan awal yang lebih untuk anak-anak.

Tidakkah Upin dan Ipin memberikan impak yang besar?

Permintaan(demand) itu insya-Allah ada memandangkan kesedaran ibu bapa tentang peri penting tarbiyah Islamiyyah seawal-awal usia anak-anak di sediakan semakin meningkat. Sampah-sampah (fitnah-fitnah) yang terlontar ke ‘halaman rumah Islam’ ini boleh ‘disapu’ dengan kehadiran produk-produk seperti ini.

Yang Pertama Itu Bermakna

Kebanyakan anak-anak Israel yang diajar untuk membenci umat Islam sejak usia muda.

Mengapa mesti seorang ayah mengalunkan azan ke telinga kanan dan iqamah ke telinga kiri semasa menyambut kelahiran anak-anak Muslim yang baru ke dunia?

Hal ini kerana selalunya pengalaman pertama itu amat memberi kesan berbentuk pendidikan (tarbawi) atau pengajaran yang akan diingati sepanjang hayat. Pertama kali pergi ke sekolah, pertama kali menerima gaji, pertama kali memiliki kereta, pertama kali bersama dengan pasangan yang sah, pertama kali menimang cahaya mata, pertama kali membeli rumah, pertama itu, pertama ini. Semuanya membawa impak yang mendalam. Pengalaman yang mengikut selepas peristiwa kali pertama juga membawa implikasi besar dalam hidup insan yang terlibat. Tahun-tahun awal di sekolah, masa-masa awal di alam pekerjaan mahupun tahun-tahun awal perkahwinan. Semua itu masa-masa yang sensitif. Begitu jugalah dengan masa-masa kecil anak-anak. Kata orang tempat jatuh lagi dikenang. Lalu fasa yang penting ini perlulah dilalui dengan sebaik mungkin tanpa menafikan kepentingan fasa-fasa lain dalam kehidupan seorang manusia.

Bagi Ronaldo de Assis Moreira atau lebih dikenali dengan nama Ronaldinho, pemain bola sepak Brazil yang terkemuka di dunia, permainan pertama yang dibelikan untuknya ialah sebiji bola dan beberapa pasang kasut bola!

“Tak perlulah terlalu serius, mereka ni budak-budak sahaja. Bukan tahu apa-apa pun. Besok dah besar pandailah mereka berfikir sendiri.”

Mungkin ada yang menganggap bahawa anak-anak ini belum matang, lalu tidak mengapa dibiarkan dengan kehidupan yang sedemikian rupa dengan alasan mudah; ‘Alah, budak-budak lagi, biarkanlah…’ Mari kita semak sejarah Islam. Dari sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim:

Al-Hasan bin ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma memungut sebutir kurma dari kurma sedekah, lalu dia masukkan kurma itu ke mulutnya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda, “Kikh, kikh! Buang kurma itu! Apa kau tidak tahu, kita ini tidak boleh makan sedekah?” (HR. Muslim no. 1069)

Tatkala itu Hasan bin Ali masih lagi dalam usia kanak-kanak. Tetapi Rasulullah s.a.w. sudah sedia memberikan pendidikan berkenaan perkara yang boleh dan tidak dibenarkan, bertentangan dengan syara’. Halal dan haram.

Perlu juga diingatkan, sesungguhnya pendidikan itu tidak hanya terkurung dalam bejana pendidikan formal semata. Pada hemat saya, pendidikan secara tidak formal atau secara tidak langsung lebih memberi makna dan mudah diterjemah dalam bentuk amali. Pendidikan secara tidak formal ini melibatkan deria yang lima. Kesan audio(apa-apa yang didengari), visual(apa-apa yang diamati), sentuhan, deria hidu dan rasa. Anak-anak belajar dan terdidik daripada apa yang dapat ditangkap melalui deria mereka terutamanya apa-apa yang dilihat dan didengar.

Hal ini memperlihatkan bahawa permainan, perkakasan, dan peralatan yang digunakan anak-anak juga memberikan kesan kepada mereka. Gambar-gambar yang dilihat, anak-anak patung yang mereka sentuh serta bunyi-bunyi nyanyian yang mereka dengar semuanya aspek yang perlu diambil kira, jangan sambil lewa!

Semoga nanti akan dipergiat usaha umat Islam untuk menutup lompong sisi ini dalam kehidupan kita. Insya-Allah.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top