Kalimah Allah : Kerajaan Perlu Tunjukkan Kejantanan

Hari ini kita dikejutkan dengan penarikan diri kerajaan Malaysia dalam kes penggunaan kalimah Allah.

Untuk pengetahuan semua, keputusan mahkamah sebelum ini telah menetapkan bahawa larangan pekeliling 1986 oleh KDN yang melarang penggunaan “Allah” “Baitullah” dan “Kaabah” oleh yang bukan Islam adalah tidak berperlembagaan.

Justeru penarikan kerajaan Malaysia dalam kes ini menggusarkan kita kerana ini seolah menggambarkan kalimah Allah ini boleh digunakan oleh yang bukan Islam atas dasar kebebasan beragama.

Saya nak ulas sedikit perkara ini melalui perspektif undang-undang perlembagaan.

Antara hujah mereka yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian ini adalah kerana katanya itu adalah hak kebebasan untuk beragama seperti yang termaktub dalam Perkara 11(1). Pun begitu, kalau kita lihat secara mendalam, Perkara 11 ini tidak boleh difahami dengan sekilas baca sahaja.

Kita boleh tahu penafsiran perkara 11 ini sendiri dalam kes Fatimah binti Sihi v Meor Atiqulrahman & Ors. Fakta ringkas tentang kes ini adalah Meor yang merupakan seorang pelajar telah pergi ke sekolah dengan memakai serban. Fatimah dalam kes ini pula yang merupakan seorang guru besar telah bertindak membuang Meor dari sekolah kerana Meor berdegil untuk terus memakai serban walaupun sudah ditegur. Maka, berang dengan tindakan Fatimah, Meor terus membawa perkara ini ke mahkamah dan membuat tuntutan bahawa haknya untuk beragama seperti yang termaktub dalam perkara 11 telah diganggu. Di Mahkamah Rayuan, Hakim Gopal Sri Ram telah menolak tuntutan ini. Hal ini kerana pemakaian serban bukanlah satu elemen yang wajib dalam agama Islam. Dalam erti kata lain, pakai atau tak pakai serban, ianya tak mengubah akidah atau pegangan seseorang Muslim. Melalui kes ini juga, hakim Gopal Sri Ram telah merangka satu prinsip untuk kita tahu sama ada hak beragama seseorang diganggu atau tak.

Prinsipnya adalah “any claims of denial of right to religious freedom, the test to apply is whether the act in question has had the effect of interfering with the practice of that integral part of religion”. Maksud “integral” di sini menurut hakim adalah perkara yang wajib dalam agama. Andai tindakan itu bukanlah satu perkara yang wajib dalam agama, maka tuntutan atas nama perkara 11 ini tidak boleh dibuat. Ringkasnya, untuk kita menyatakan bahawa hak beragama seseorang itu diganggu, kita perlu lihat adakah “the act in question” itu telah menghalang praktis seseorang dalam beragama dengan agamanya. Ini adalah satu prinsip yang sangat penting dalam memahami perkara 11.

Dalam mengaplikasikan perkara ini dalam isu kalimah Allah, kita perlu selesaikan satu persoalan. Adakah larangan untuk penggunaan kalimah Allah ini akan menghalang seseorang penganut Kristian untuk praktisnya dalam agama Kristian ?

Dalam kes Menteri Dalam Negeri v Titular Roman yang dibicarakan di Mahkamah Rayuan, YA Dato’ Seri Haji Mohd. Zawawi bin Salleh dengan jelas menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh The Herald untuk menunjukkan makna “God” bukanlah satu perkara yang “essential” atau “integral” dalam praktis agama Kristian. Hal ini sebab dalam kalangan penganut Kristian sendiri, mereka pun masih tiada kata yang sepakat dalam isu kalimah Allah. Ada yang tak bersetuju.

Dan, andai nak diguna hujah kerana masyarakat Kristian di Malaysia sudah lama menggunakan kalimah “Allah”, masyarakat Indonesia yang sudah lama praktiskan perkara ini pun ada yang tidak menggunakan kalimah Allah. Antara kitab mereka yang tidak menggunakan kalimah Allah adalah Kitab Suci: Torat dan Injil (Jakarta: Bet Yesua Hamasiah). Maknanya, kita boleh rumuskan andai tak guna kalimah Allah pun, praktis mereka ini takkan terganggu.

Jadi, hujah kebebasan beragama ini kita boleh letak tepi.

Ini dari sudut perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Isu kalimah Allah ini hakikatnya lebih daripada itu. Penaakulan kita sepatutnya tak terhenti pada masa sekarang, tapi perlu jauh ke hadapan. Ini adalah bibit bibit permulaan untuk agama ini dirosakkan. Perkara ini akan membuka ruang ruang yang lebih besar untuk agama Islam ini dipandang sama rata dengan agama lain.

Moga kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim hari ini dapat tunjukkan kejantanan untuk pertahankan kalimah Allah ini.

Abu Dzar Mohd Annuar
Presiden PEMBINA UIAM Gombak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top