Banting, 29 Mei 2013- Slot forum “Bicara Bersama Alumni” yang mengumpulkan hampir 2500 orang pelajar yang baru memulakan pengajian di Kolej Matrikulasi Selangor telah menampilkan Saudari Nurnaima Zainuddin, JK Media PEMBINA Pusat yang merupakan alumni Kolej Matrikulasi Melaka bagi sesi 2008/2009.
Saudari Naima juga turut berganding dengan Ketua Cawangan PEMBINA Gombak, Saudara Suria Affendi, Tokoh Belia PEMBINA dan Saudara Afif, pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan.
Saudari Naima yang merupakan seorang IT Analyst di sebuah syarikat konsultasi IT multinasional turut berkongsi pengalaman beliau menuntut dalam bidang Teknologi dan Sains Maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam penglibatan beliau dalam kumpulan penyelidikan IT dan perubatan. Beliau turut mengajak para pelajar matrikulasi agar mula merancang apakah sumbangan yang boleh diberikan kepada masyarakat dengan kepakaran yang mereka ingin kuasai kelak.
Ketika sesi soal jawap, Saudari Naima ditanya mengenai dilema para pelajar yang mempunyai minat dan cita-cita yang berbeza dengan kehendak ibu bapa?
Beliau mengingatkan bahawa semua ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk kita. Bermula dengan memberikan pendidikan yang terbaik, serta mahukan kita mendapatkan pekerjaan yang baik dan stabil, seterusnya mereka mahu kita mendapatkan pasangan dan membina keluarga yang bahagia. Itulah naluri manusia yang mahukan segala yang terbaik buat diri kita lebih-lebih lagi ibubapa kita. Oleh itu, anak-anak harus bijak berbincang dan selalu memperkenalkan ikon-ikon atau pakar-pakar yang telah berjaya dalam bidang yang mereka ingin ceburi. Yakinkan ibu bapa bahawa kita mahu menjadi golongan pakar professional yang mahu menyumbangkan kepakaran kita untuk memberikan manfaat kepada masyarakat dan agama.