Isra’ Mi’raj & Rukun Pemuda : Belia Islam menginspirasi dunia

Isra’ dan Mi’raj

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah SAW benar-benar merupakan suatu fenomena besar buat sejarah manusia dan sejarah peradaban Islam khususnya. Terlalu banyak pengajaran, hikmah dan iktibar yang boleh diambil dari pelbagai perspektif dan kacamata.

Dari sudut bahasa, kalimah Isra’ (إسراء) merupakan suatu kalimah terbitan Arab yang berasal dari kata kerja Asra (أسرى) yang bermaksud perjalanan jauh khusus pada waktu malam. Di dalam konteks Isra’ Nabi Muhammad pula ia bermaksud, suatu perjalanan Baginda pada suatu malam dari Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al-Aqsa, di Baitul Maqdis, serta perjalanan kembali Baginda dari Masjid Al-Aqsa ke Masjid Al-Haram. Al-Isra’ juga merupakan nama kepada satu surah di dalam Al-Quran yang merakamkan peristiwa isra’ Baginda tersebut.

Kalimah Mi’raj (معراج) pula merupakan kalimah Arab yang secara literalnya bermaksud tangga atau elevator. Ia merupakan terbitan kata kerja (عرج) yang bermaksud naik ke atas. Mi’raj Rasulullah SAW bermaksud perjalanan naik Rasulullah SAW dari Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis ditemani malaikat Jibril merentasi tujuh lapisan langit. Kemudian Baginda berseorangan bertemu Allah SWT menerima wahyu solat. Suatu surah di dalam Al-Quran yang dinamakan sebagai Surah Al-Ma’arij (المعارج) menceritakan kehebatan Allah SWT yang memiliki dan menguasai seluruh Malaikat yang naik menghadapNya sepanjang masa.

area-masjid-alqsa

Riwayat mukjizat

سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي باركنا حوله لنريه من آياتنا إنه هو السميع البصير

“Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad SAW) di suatu malam, dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Baitul Maqdis) yang telah kami berkati di sekelilingnya, untuk kami memperlihatkan kepadanya (Muhammad SAW) akan tanda-tanda (kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Dialah (Allah) yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

(Surah Al-Isra’ : Ayat 1)

Beberapa perkara yang perlu diperhatikan di dalam peristiwa yang merupakan mukjizat kurniaan Allah kepada Nabi Muhammad ini adalah peristiwa ini berlaku di antara tahun kesebelas hingga kedua belas kerasulan, pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah. Ia berlaku di tengah-tengah perjuangan dakwah 23 tahun Baginda.

Fasa dakwah ketika itu adalah fasa dakwah terbuka sebelum Baginda dan umat Islam berhijrah. Syeikh Muhammad Al-Ghazali di dalam kitabnya Fiqh Sirah menamakan fasa ini sebagai Fasa Jihad Dakwah. Penyampaian mesej dan hujah dakwah disampaikan bermati-matian sehingga mengalir airmata dan darah tanpa sekali pun menggunakan kekerasan atau ketajaman pedang, walaupun terdapat di kalangan sahabat-sahabat yang begitu membara semangat jihad peperangannya. Pendekatan dakwah Baginda ketika itu lebih bersifat berstrategi dari aspek gerakan, tetapi jelas tanpa berselindung pada aspek hujah dan menyatakan prinsip aqidah Islam.

Kemuncak perjuangan Jihad Dakwah Baginda SAW bersama para sahabatnya ini berlaku pada tahun yang dinamakan sebagai Tahun Kesedihan tersebut. Perjuangan Baginda bermatian-matian Baginda seolah-olah berada di penghujung jalan apabila Baginda kehilangan dua insan penting di dalam hidup dan perjuangan dakwah tersebut. Khadijah Khuwailid  RA, isteri Baginda yang amat dikasihi, yang beriman sepenuh hati terhadap risalah nubuwah Baginda serta mengorbankan harta-hartanya untuk Islam telah pergi menghadap Allah. Kesedihan ini disusuli kematian Abu Talib, bapa saudara Baginda yang terus-menerus mempertahankan Baginda dari diancam atau disakiti musyrikin Quraisy Makkah. Kedua-dua kehilangan ini merupakan kehilangan besar terhadap perjuangan dan kehidupan Baginda.

Tidak cukup dengan itu, strategi Baginda untuk memindahkan pusat dakwah keluar dari Makkah dengan menawarkan pemimpin dan penduduk Tha’if menjadi tuan rumah, bukan sahaja ditolak, malah Baginda telah dihina, dimalukan dan disakiti sehingga mengalir darah Baginda hingga ke tumit. Kepedihan ini turut dirasai oleh para malaikat yang meminta izin Baginda untuk menghancurkan seluruh penduduk Tha’if dengan hempasan dua gunung di sekelilingnya. Atas kasih sayang, sifat pemaaf dan wawasan jauh Baginda, pelawaan malaikat tersebut telah ditolak dengan baik.

Di saat kesedihan Baginda itulah, Allah SWT telah menjemput Baginda dalam suatu perjalanan agung dan memulih kembali semangat dan motivasi Jihad Dakwah ini, kembara Isra’ dan Mi’raj, bertemu dengan kekasih Baginda, pemilik risalah dakwah, dan pemilik perutusan Baginda sebagai Rasul.

Di saat Jihad Dakwah Baginda diuji dengan ujian yang maha hebat, Allah SWT sebagai pemilik kepada semua urusan Baginda telah mengangkat darjat Baginda kepada setinggi-tinggi darjat. Perjalanan Isra’ melalui tempat-tempat penting perjuangan aqidah tauhid sebelum Baginda. Baginda mendirikan solat berjemaah di Masjid Al-Aqsa mengimamkan semua para Anbia’ dan Rusul. Baginda melalui pintu-pintu langit dan bertemu dengan Rasul-rasul sebelum Baginda. Dan akhirnya mencapai darjat serta kedudukan tertinggi yang belum pernah dicapai mana-mana makhluq iaitu bertemu dengan Allah SWT untuk menerima kefardhuan solat lima waktu.

Kepulangan Baginda seusai kembara Isra’ Mi’raj telah menghapuskan segala kesedihan dan nestapa sepanjang perjuangan sebelum ini. Ia adalah lembaran baru. Ia adalah penyataan tidak langsung dari Allah bahawa Baginda sedang memimpin urusan tertinggi dan terpenting di seluruh alam, di sepanjang zaman.

Berita Isra’ Mi’raj Baginda tersebar di kalangan penduduk Makkah. Ramai yang ragu-ragu, ramai yang menolak perkara di luar logik akal tersebut. Manakala, Allah telah memuliakan risalah Jihad Dakwah ini dengan pemuda belia yang beriman dengan khabar yang disampaikan Baginda dan kekuasaan Allah tanpa ragu. Mereka adalah para sahabat-sahabat Baginda yang setia bersama dari awal dakwah sehingga ke akhir hayat mereka. Nama-nama seperti Abu Bakr As-Siddiq, ‘Umar Al-Khattab, ‘Uthman ‘Affan, ‘Ali Abi Thalib termasuk sahabat-sahabat lain di kalangan yang telah dijanjikan syurga di kalangan mereka yang beriman. Ternyata nama-nama besar yang ditarbiyah dengan peristiwa Isra’ Mi’raj lantas beramal dengan solat mereka ini adalah nama-nama besar yang telah mencatat sejarah agung dalam lembaran sejarah tamadun dan peradan manusia, selepas kewafatan Baginda.

Rukun Pemuda Disebut Al-Banna

Di dalam suatu risalah, yang ditulis oleh Imam As-Syahid Hasan Al-Banna, yang bertajuk Risalah Pemuda, beliau telah mengungkap satu panduan berguna untuk generasi pemuda belia Islam zaman ini.

“Sesungguhnya sesuatu gagasan pemikiran (fikrah) itu, hanya berjaya jika terdapat pendokong-pendokong yang (i) yakin dan percaya (baca : beriman) penuh dengannya, (ii) jujur dan ikhlas dalam perjuangan menegakkannya, (iii) berkobar semangat dan motivasi untuk mempertahankan kewujudannya, serta (iv) siap-siaga dan bersedia untuk berkorban apa sahaja demi perjuangannya lantas bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut iaitu Iman (keyakinan), Sidq (kejujuran), Hamasah (semangat) dan Amal (tindakan) adalah merupakan ciri-ciri khas dan utama pemuda.

Kesimpulan penting ini kerana (i) asas Iman adalah hati yang suci, (ii) asas Sidq adalah sanubari yang jernih dan tulus, (iii) asas Hamasah adalah jiwa yang segar dan berkobar, dan (iv) asas Amal adalah keazaman jitu.

Oleh kerana itu angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang seri kebangkitan sesuatu umat. Pemuda merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan. Angkatan pemuda merupakan penjulang panji-panji bagi sesuatu gagasan perjuangan.

Firman Allah:

إِﻧﱠﻬُﻢْ ﻓِﺘْﻴَﺔٌ ﺁﻣَﻨُﻮا ﺑِﺮَﺑﱢﻬِﻢْ وَزِدْﻧَﺎهُﻢْ هُﺪًى

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk buat mereka.” (Surah Al-Kahfi: Ayat 13)

Atas asas ini, pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah-tambah, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang berlipat-ganda. Malah beban amanah yang dipikul di bahu pemuda akan menjadi bertambah berat.

Belia & Iman

Pemuda dan belia yang ditarbiyah oleh Rasulullah, terutamanya melalui peristiwa Isra’ Mi’raj mempunyai ciri-ciri dan rukun bagi kepemudaan atau kebeliaan yang telah disebutkan oleh Imam Al-Banna.

Ketinggian iman mereka kepada Allah, RasulNya, perkara-perkara ghaib dan semua ajaran Baginda yang disampaikan melalui wahyu telah diuji dengan pelbagai cubaan dugaan sama ada dalam bentuk ancaman fizikal, tekanan emosi, cabaran aqal dan sebagainya. Namun, hati yang telah suci dari kotoran syirik sahaja yang mampu untuk terus bertahan dan berpegang teguh dengan iman.

Melalui peristiwa Isra’ Mi’raj ini menunjukkan kepada kita terutamanya generasi muda hari ini akan kepentingan solat sebagai manifestasi utama Iman kita kepada Allah dan RasulNya.

Sebagaimana ungkapan-ungkapan berharga sama ada dari wahyu Al-Quran atau Sunnah Rasulullah, atau pesanan berharga salafusoleh, hanya Iman yang tulen yang datangnya dari hati yang suci, mampu menjadi penyelamat kita di dunia dan akhirat. Iman harus dating dari cahaya ilmu dari sumbernya yang asli. Iman tidak boleh dicampur-aduk dengan kefahaman-kefahaman atau ideology-ideologi lain ciptaan manusia sama ada ia bernama Yahudi, Nasrani, Krisitian, Majusi, Buddha, Hindu, Taoisme, Confuciousme, Syi’isme dan umpamanya, bahkan nama-nama moden umpama Sekularisme, Humanisme, Liberalisme, Libertisme, Sosialisme, Komunisme dan lain-lain, atas apa jua alasan dan hujah.

Kita wajib beriman bahawa hanyalah Islam penyelesai kepada semua masalah manusia di segenap aspek kehidupannya di dunia menuju akhirat.

Belia & kejujuran

Abu Bakr RA mendapat jolokan As-Siddiq (Yang benar dan jujur) kerana membenarkan semua khabar dari Rasulullah SAW, kemuncaknya khabar Isra’ Mi’raj. Abu Bakr As-Siddiq yang merupakan seorang pemuda penggerak Jihad Dakwah di fasa awal sejarah Islam merupakan contoh pemuda yang telah beriman, lantas tanpa ragu mahupun tangguh, menyatakan Imannya, beramal, menyampaikan dan berpegang teguh dengannya. Beliau menjadi sebutan dan contoh tauladan ummah sepanjang zaman. Bahkan menjadi nama yang dicemburui di kalangan orang beriman yang tidak mampu menyaingi kejujuran beliau terhadap iman tersebut.

Tidak ramai belia hari ini, dari kalangan yang melazimi ibadah fardhu dan sunat, mampu bersegera menterjemahkan iman mereka kepada tuntutan amal yang lebih utama iaitu menyempurnakan Jihad Dakwah, mengorbankan kepentingan diri dalam meninggikan Kalimah Allah. Berjuang dalam erti kata meninggalkan segala bentuk keselesaan hidup demi kemanisan Islam dan Iman dapat dirasai oleh jiwa-jiwa yang lain, yang pada hakikatnya sedang tertunggu-tunggu disapa dan dibawa kepada kemanisan Iman.

Belia & semangat

Hamasah (motivasi dan semangat) seumpama nyalaan api lilin, atau jamung, atau pelita. Kehangatannya dapat dirasai oleh orang-orang di sekitarnya. Kedinginan yang dirasai adalah tanda bahawa ia tiada, atau ia tidak memberi makna kepada persekitaran.

Motivasi dan semangat dakwah yang meluap-luap adalah hasil ramuan iman, kefahaman yang jelas, keikhlasan dan ramauan-ramuan lain. Seseorang yang mempunyai semangat yang tinggi akan memandang kecil gigitan nyamuk dan sapaan duri ranjau. Motivasi amal yang tinggi menjadikan seseorang itu bersedia menghadapi apa jua rintangan sepanjang jalannya menuju matlamatnya yang mungkin kelihatan jauh dan melelahkan.

Semangat dan motivasi harus sentiasa disuburkan. Tidak seharusnya ia dibiarkan malap. Semangat dan motivasi tinggi seseorang akan mampu menginspirasi mereka di sekelilingnya, umpama nyalaan lilin yang mampu menyalakan lilin yang lain.

belia

Belia & amal

Belia pemuda yang memahami makna-makna yang berlegar di sekitar perjuangannya akan dapat memahami hakikat yang disebut bahawa tuntutan Jihad Dakwah lebih besar dan banyak berbanding masa yang dimiliki. Oleh yang demikian, sikap bertangguh dan bermalas harus dihalau pergi dari nafas amal.

Beramal, berjuang dan berjihad seharusnya disempurnakan berlandaskan prinsip-prinsip syari’at Islam yang jelas, jalan-jalannya yang tabi’e menurut fitrah alam dan manusia.

Oleh kerana itulah kita mampu membuat kesimpulan, berdasarkan hujrah fitrah alam dan contoh-contoh sepanjang sirah Nubuwah, Risalah dan Jihad ini membuktikan bahawa matlamat yang besar ini hanya mampu disempurnakan dengan susunan sumber manusia yang baik melalui amal kolektif, atau apa yang biasa dinamakan sebagai amal jama’ie.

Amal jama’ie di dalam sesuatu organisasi seharusnya mengurus sumber-sumber yang ada dengan baik. Adab-adab dan etika-etika yang telah ditetapkan bagi memperelokkan sistem yang wujud seharusnya dihormati oleh semua anggota. Nuansa hubungan dalaman sesama ahli, hubungan pemimpin dengan yang dipimpin serta hubungan rentas organisasi harus dihayati dengan saksama agar objektif kecil atau misi jangka masa pendek tidak akan mengaburi kita semua dari matlamat dakwah yang lebih besar, jauh dan berjangka masa panjang.

Walau apa jua kedudukan dan kefahaman yang dibentuk di dalam acuan sesuatu amal jama’ie pula tidak seharusnya melalaikan kita akan tuntutan asal Islam yang umum dan penting, iaitu bahawa setiap muslim itu tetap bersaudara. Ia adalah prinsip penting Islam yang memayungi semua Muslim dengan satu payung aqidah dan mengikat kita dengan ikatan iman.

Bumi Isra’ dalam genggaman musuh

Walau banyak manapun hikmah yang dapat diambil dari peristiwa agung Isra’ Mi’raj ini juga seharusnya tidak melalaikan kita bahawa bumi yang pernah menjadi tanda Isra’ Rasulullah dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa dan Mi’raj Baginda dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha, kini berada dalam genggaman Yahudi Zionis, musuh Allah dan musuh umat Islam.

Pengajaran dan iktibar yang diperolehi tidak memberi apa-apa erti melainkan ia diterjemahkan ke dalam kembara pembentukan peribadi setiap dari kita, belia, beliawanis, pemuda dan pemudi Islam hari ini.

Sedarlah bahawa, di saat kita lalai dan leka, musuh-musuh kita tidak lalai dan tidak leka dalam melaksanakan perancangan mereka untuk menyesatkan kita dari tanggungjawab kita yang utama.

Ayuh kita rebut peluang yang ada untuk menyertai gerombolan kembara belia-belia Isra’ Mi’raj yang pernah menginspirasi dan berjasa kepada dunia.

Oleh,

Salman

Ustaz Salman Abdul Rahman,
Setiausaha Agung,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
27 Rejab 1434H – Bandar Baru Bangi, Selangor

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top