Islam dan Organisasi
Tanzhim atau organsasi merupakan ciri-ciri penting dalam amal islami. Organisasi hendaklah tersusun rapi dalam segala aspek samada kepimpinan, penyusunan strategi dan gerak kerja atau pembahagian tugas dan tanggungjawab. Islam amat menitikberatkan keteraturan ini, sebagai bukti dari firman Allah SWT yang berbunyi,
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan Allah dalam barisan yang tersusun kukuh” (As-Saff 61:4)
Saidina Ali karamallahu wajhah pernah berkata “Kebatilan yang tersusun pasti mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun”
Dalam kaedah syariah (maqasid syariah) pula mengatakan “Tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu ia adalah wajib”
Dalil-dalil yang dikemukan menunjukkan pentingnya bagi gerakan-gerakan islam memiliki sebuah organisasi yang kemas dan tersusun.
Tidak kurang hebatnya Sultan Muhammad Al-Fateh memerintahkan tenteranya mengalihkan kapal-kapal yang bertan-tan beratnya dengan melalui bukit hanya dalam satu malam. Sesuatu yang tidak mampu difikirkan oleh akal biasa. Semua ini tidak akan mampu terjadi sekiranya tiada kebijaksaan dalam kepimpinan dan keteraturan dalam menyusun strategi serta sumber tenaga manusia. Aturan bagi membolehkan kita mencapai kemenangan selain faktor keyakinan, keimanan serta tawakal yang tinggi kepada Allah SWT. Rasulullah menunjukkan teladan dalam peristiwa Hijrah dengan penyusunan strategi bagi menyelamatkan kaum Muslimin. Arahan kepada Saidina Ali bagi menggantikan tempat tidur baginda, pemilihan Gua Thur sebagai tempat bersembunyi dan penugasan Abdullah bin Abu Bakar sebagai penyedia makanan dan minuman disusuli arahan mengembala kambing di berdekatan Gua Thur bagi menghilangkan jejak-jejak kaki manusia. Hebat!
Islam dan kerjasama pasukan
Setiap ahli dalam sesebuah organisasi memainkan peranan sangat penting tanpa mengira posisi. Hatta seorang ketua tidak akan mampu menggerakkan organisasi bersendirian. Tiada yang namanya ‘superhero’ seperti superman, batman atau spiderman di dunia yang nyata. Sedang kebatilan serta ideologi-ideologi Barat yang sedang mengancam umat islam kini telah di susun kemas oleh organisasi terancang seperti zionisme dan sebagainya sejak dari awal dan memakan masa bertahun-tahun untuk menyerap ke dalam pemikiran umat Islam.
Setiap individu harus memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab yang diluar dari peranan mereka. Merasa saling memerlukan antara satu sama lain dan membantu antara satu sama lain. Jauhi istilah ‘itu bukan kerja aku’, ‘peranan aku hanya ini’ dan sebagainya. Pemimpin tidak merasa hina melakukan kerja seperti pengikut manakala pengikut pula mempunyai gaya berfikir seperti pemimpin.
Gerakan Islam juga harus berani menghadapi tantangan dan cabaran serta mampu menukarkannya kepada peluang. Dengan akal yang dikurniakan Allah digunakan sebaik-baiknya untuk keluar dari permaslahan secara kreatif tanpa melanggar syariat. Ada beberapa panduan yang berguna dalam membentuk kerjasama pasukan yang baik:
1. Beradaptasi untuk berubah
2. Tidak mengambil kesempatan terhadap ahli pasukan lain
3. Belajar untuk menghargai dan merasai kehadiran orang lain’
4. Melayan setiap orang dengan penuh hormat dan bermaruah
5. Menepati sasaran dan tempoh waktu yang ditetapkan
6. Menjadi jurubicara yang baik
7. Bekerjasama dengan baik
8. Berkongsi maklumat dan informasi
Faktor kemenangan
Kejayaan atau kemenangan sesebuah organisasi juga ditentukan oleh tiga faktor utama
1. Matlamat yang jelas
2. Jalan yang jelas
3. Iltizam dengan kedua-dua perkara di atas
Akhir sekali perbezaan gerakan yang berlandaskan perjuangan Islam dan bukan adalah kita memiliki dukungan Allah SWT dan para malaikat. Segala usaha yang dibuat, strategi yang dirancang hanya Allah SWT yang berkuasa memberi kemenangan atau kegagalan. Maka bentuk usaha yang pertama dan terakhir adalah doa sungguh-sungguh kepada Allah SWT agar memberikan yang terbaik buat agama dan umat ini. Wallahu a’lam
Oleh
Roszida Kamaruddin,
JK Pembangunan Organisasi, PEMBINA