BANGI, 29 Nov. – Lebih 300 mahasiswa telah menyertai diskusi anjuran bersama Persatuan Belia Islam Nasional cawangan Bangi (PEMBINA BANGI) dan Sahabat Al-Quran Universiti Tenaga Nasional (SAQ UNITEN) serta mendapat sokongan Pusat Islam dan Peradaban UNITEN. Diskusi yang bertajuk Ancaman Liberisme di Kalangan Mahasiswa ini telah diadakan di Masjid UNITEN bermula pada jam 8.45 malam sehingga 11.00 malam.
Diskusi ini diadakan bersempena dengan program Jelajah Arus Siswa (JELAS), salah satu produk PEMBINA pusat sendiri yang dicetuskan sebagai kesinambungan objektif Himpunan Mahasiswa (HIMMAH) yang diadakan pada bulan September yang lalu.
Diskusi yang berlangsung hampir 2 jam ini menampilkan empat orang individu hebat yang mewakili persatuan masing-masing iaitu saudara Muhd. Fadhlullah Amram, Sekretriat Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar 2011/2012 (MPP) UNITEN, saudara Syafiee Mohd. Raffee, Presiden Persatuan Pengajian Islam (PPI) UNITEN, dan saudara Luqman Abd. Hamid, Ahli Unit Informasi dan Kajian PEMBINA, serta dimoderatorkan oleh saudara Muhammad Nabil Muzakkir Ghazali, Ahli Jawatankuasa Sahabat Al-Quran (SAQ) UNITEN.
Sepanjang berlangsungnya diskusi ini, pelbagai persoalan yang asas serta mendalam berkaitan liberalisme telah dikemukakan oleh moderator dan dijawab dengan baik oleh para panelis. Hal ini sekaligus memberikan gambaran dan jawapan yang jelas kepada para mahasiswa yang hadir akan bahayanya ancaman liberalisme khususnya yang secara halus menyerap masuk dalam pemikiran serta tatacara kehidupan mahasiswa masa kini.
Menurut wakil PEMBINA, saudara Luqman, dalam menangani permasalahan ini mahasiswa haruslah bijak mentafsir dan menilai setiap maklumat serta isu semasa berdasarkan fakta dan kefahaman agama, bukan sekadar emosi atau kepentingan kepada sesuatu pihak atau perkara. Manakala penekanan aqidah yang benar dan mantap telah disebut oleh saudara Syafie yang mewakili PPI. Beliau menghuraikan akan kepentingan aqidah sebagai benteng diri paling kukuh dalam menghadapi serangan pemikiran (ghazwatul fikr) masa kini termasuk fahaman liberalisme. Disamping itu, saudara Muhd. Fadhlullah, wakil MPP telah memberikan kredit kepada persatuan-persatuan mahasiswa berbentuk islamik seperti PEMBINA dan lain-lain serta menggalakkan para hadirin menyertai persatuan-persatuan sebegini agar terpelihara daripada fahaman yang salah sekaligus memberi kesan yang efektif dalam usaha menentang arus liberalisme di kalangan mahasiswa khususnya di UNITEN sendiri.
Diskusi ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan persembahan nasyid oleh kumpulan Ad-Du’at. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana selain daripada dapat menjelaskan bahaya ancaman pemikiran liberal, ia juga menjadi bukti bahawa kesatuan diantara PEMBINA dengan persatuan-persatuan lain wujud malah bertambah akrab dalam menjana arus mahasiswa. Sekian, terima kasih.
Meneraju Arus Mahasiswa!