Jaulah Keinsafan Mengukir Memori Tsunami Acheh

 

Banda Aceh 14 Nov – Masjid Raya Baiturrahman yang menjadi tinggalan sejarah terhebat akibat Tsunami di Aceh telah dikunjungi oleh beliawanis PEMBINA Bangi baru-baru ini. Biarpun Masjid Raya Baiturrahman ini telah pun dibaik pulih dan dinaik taraf, namun, perasaan sedih dan sebak pasti menyelubungi hati setiap pengunjung yang datang. Tidak pelik. Kerana di sinilah tempat hamba-hamba Allah berdoa di antara hidup dan mati agar diampunkan segala dosa dan dijauhkan daripada malapetaka Tsunami yang sedang menimpa. Kini, Masjid Raya Baiturrahman atau lebih tepat lagi, Banda Aceh, sudah menjadi tempat yang membangun dan dipenuhi dengan kunjungan orang tempatan mahupun pelancong dari luar yang turut ingin merasai kesan Tsunami yang melanda 7 tahun lalu.

Di samping itu, beliawanis juga sempat berkunjung ke muzium Tsunami Aceh yang dibina seperti replika pusaran air, simbolik kepada ombak Tsunami. Laluan masuk ke muzium ini dikelilingi air yang jatuh dari atas dari belah kanan dan kiri agar pengunjung dapat merasai bagaikan berada di dalam bah Tsunami. Di dalam muzium ini, terdapat satu bilik yang dipenuhi dengan sebahagian nama-nama mangsa korban Tsunami yang terdapat di sekeliling dindingnya, bilik yang menempatkan skrin sentuh yang menayangkan gambar-gambar semasa kejadian Tsunami, dan juga bilik yang menempatkan fakta-fakta berkenaan Tsunami di Aceh.

Semoga kejadian Tsunami ini diambil iktibar oleh semua kaum muslimin dalam melakukan dakwah dengan lebih giat lagi. Tidak hanya cukup kebaikan untuk diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Tidak beriman seseorang kamu, selagi mana dia tidak mencintai sahabatnya, sebagaimana dia mencintai dirinya”

Wallahua’lam

Siti Farhana bt Fathy
Biro Media, Teknikal & Dokumentasi
PEMBINA Bangi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top