Oleh: Hanafi Muidnudin
Johor Bahru, 4 November – Saudara Uzair Izzat Amir Muhammad, JK Politik Kampus PEMBINA menasihatkan seluruh jentera PEMBINA dalam Pilihanraya Kampus (PRK) agar terus bergerak sekalipun musim PRK telah tamat.
Jelas beliau, gerak kerja asasi PEMBINA adalah ingin menyedarkan seluruh masyarakat kampus tentang Islam. Sehubungan dengan itu, tujuan utama PEMBINA menyertai PRK ini adalah kerana tuntutan dakwah.
“Jentera perlu memahami sebenar-benarnya apakah tujuan kita (PEMBINA) memasuki PRK. Sememangnya adalah sebab tuntutan dakwah. Sekalipun calon kita menang atau kalah, tuntutan dakwah kita akan tetap berterusan”, katanya.
Sebelum wartawan PEMBINA menutup perbicaraan bersama saudara Uzair, beliau sempat menukilkan harapan agar politik kampus yang sedia ada hari ini dapat diubah kepada politik yang lebih sihat dan bernilai.
Tambahnya juga, jentera di setiap kampus adalah sebagai imej yang mewakili PEMBINA.
PEMBINA dalam kenyataan akhbarnya bertarikh 19 Oktober lalu secara rasminya telah mengisytiharkan untuk bertanding dalam PRK di seluruh Malaysia.
Setakat hari ini, kebanyakan kampus universiti telah selesai pemilihan MPP untuk sesi 2013/2014 dan berbaki beberapa kampus sahaja lagi yang belum selesai PRK ini.