Kejayaan peguam-peguam muslim kita memenangi kes larangan pakaian menyerupai wanita merupakan kegembiraan berganda buat umat Islam di Malaysia. Selepas kemenangan Islam baru-baru ini dalam kes larangan menerbit buku Irsyad Manji yang mengandungi unsur liberal dan fahaman yang melanggar hukum syarak. Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara dan Negeri terbukti kukuh dan kedudukan istimewa Islam di Malaysia bukan lagi suatu persepsi hakikatnya Islam merupakan unsur tradisi dalam sejarah dan semangat sebenar Perlembagaan Malaysia.
Golongan-golongan pro-liberal yang secara terang-terangan mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan hakikatnya hanya bermain dengan dunia mereka sendiri. Menggunakan peruntukan perkara 5, perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan asasi dan kesamarataan demi menghalalkan cara hidup yang bertentangan dengan Islam merupakan suatu tafsiran yang dangkal dan silap. Hakikatnya, seorang muslim di Malaysia akan tetap terikat dengan undang-undang Islam.
Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes 3 orang pondan berpakaian wanita telah mengesahkan penguatkuasaan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 mengenai larangan kaum lelaki memakai pakaian wanita ataupun berlagak seperti wanita di tempat awam.
Keputusan sebulat suara 5 panel hakim itu telah mengetepikan keputusan kontroversi Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan seksyen berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hakim Md Raus menyatakan bahawa ketiga pondan tersebut telah melanggar peruntukan perkara 4 apabila memfailkan semakan kehakiman. Sedangkan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut.
Kemudian, dalam kes Ezra Zaid Ibrahim mengenai penerbitan buku songsang Irsyad Manji, pihak Ezra telah menggunakan hujah bahawa seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 telah melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa untuk menyekat kebebasan tersebut bukan pada kuasa negeri. Oleh itu buku berunsur liberal tersebut tidak sepatutnya disekat.
Namun, Yang Arif telah membuat keputusan bahawa tafsiran yang dibawa oleh pihak Ezra adalah silap. Hal ini kerana, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuaan yang mengariskan kebebasan bersuara itu tidak boleh dibaca secara terpisah. Peruntukan tersebut perlu dibaca secara menyeluruh dengan mengambil kira perkara 3 Islam agama Persekutuan, perkara 11(4) larangan dakyah agama lain kepada umat Islam, perkara 121 mahkamah sivil tidak boleh campur tangan bidang kuasa mahkamah syariah serta perkara 74 mengenai bidang kuasa pentadbiran yang diberikan oleh Persekutuan kepada Kerajaan Negeri.
Di sini jelaskan kedudukan seorang muslim yang tinggal di Malaysia akan terikat dengan dua jenis undang-undang, iaitu undang-undang parlimen serta undang-undang kerajaan negeri yang terletak dibawahnya undang-undang jenayah syariah.
Kemenangan Islam dalam kes larangan lelaki berpakaian wanita dan kes penerbitan buku berunsur liberal tersebut menjadi bukti kukuh bahawa Islam mempunyai kedudukan yang Istimewa dalam perundangan persekutuan dan negeri. Kelantangan puak liberal mencabar peruntukan-peruntukan tersebut jelas bertentangan dengan semangat sebenar Perlembagaan Malaysia. PEMBINA melihat isu ini dengan amat serius dan perlu dibanteras kerana tindakan golongan liberal ini hanya akan menggugat kesejahteraan negara serta menambah ketegangan antara kaum dan agama.
Sharifah Abdul Samad
JK Kajian dan Informasi