PEMBINA UiTM Puncak Perdana mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Fakulti Pengurusan Maklumat kerana telah menandatangai memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM dengan Institut Jantung Negara (IJN). Dengan adanya jalinan MoU ini, PEMBINA UiTM Puncak Perdana berharap UiTM melalui Fakulti Pengurusan Maklumat dapat melonjakkan lagi nama fakulti melalui pendedahan terhadap pengurusan maklumat daripada dua perspektif berbeza secara kolektif.
Selain itu, PEMBINA UiTM Puncak Perdana juga turut menyokong usaha UiTM melalui Fakulti Pengurusan Maklumat dalam usaha melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama. PEMBINA UiTM Puncak Perdana melihat melalui jalinan MoU ini, Fakulti Pengurusan Maklumat mampu menyediakan pakej-pakej pendidikan berasaskan teori manakala IJN pula dapat menumpukan kepada sudut praktikal di mana sekaligus dapat membentuk sebuah platform khusus buat mahasiswa dalam mempraktikkan ilmu pengetahuan.
Memetik harapan Naib Canselor, Tan Sri Prof. Ir Dr. Sahol Abu Bakar yang mengharapkan agar suatu hari nanti kedua-dua agensi ini akan menjadi peneraju utama serta menjadi model ikutan kepada semua professional pengurusan rekod perubatan, agensi berkaitan dan semua hospital sama ada hospital kerajaan mahupun swasta, PEMBINA UiTM Puncak Perdana optimis Fakulti Pengurusan Maklumat mampu menyediakan pelbagai program-program yang mendidik mahasiswa supaya menjadi paksi-paksi kepada aspirasi UiTM.
Akhir sekali, PEMBINA UiTM Puncak Perdana menyeru kepada mahasiswa-mahasiswi UiTM Puncak Perdana khususnya Fakulti Pengurusan Maklumat supaya dapat bersama-sama mengembleng tenaga menjayakan hasrat UiTM ini dengan menghidupkan aktivisma dalam diri setiap mahasiswa. Mahasiswa yang progresif dan aktif merupakan antara elemen keberkesanan sistem pendidikan di Malaysia. Oleh yang demikian, MoU yang dijalinkan seharusnya menjadikan mahasiswa lebih aktif dan bersedia menyahut apa-apa seruan fakulti dalam melahirkan mahasiswa bertaraf global.
“Meneraju Arus Mahasiswa”
Qamarul Nazrin bin Harun
Presiden PEMBINA UiTM Puncak Perdana