Pemuda pasak kebangkitan umat

JOHOR BAHRU, 16 Jun – Golongan pemuda merupakan tiang pasak kebangkitan kepada sesebuah umat. Justeru menjadi fokus Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) sejak 7 tahun lalu untuk membangun jati diri pemuda demi masa depan agama Islam.

Demikian menurut Jawatankuasa Politik Kampus Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), saudara Luqman Abd Hamid ketika menyampaikan slot ‘Aspirasi PEMBINA’ dalam program Training of Daie (TOD) anjuran PEMBINA Johor di Pejabat PEMBINA Johor, Kempas, baru-baru ini.

Katanya lagi, sejak PEMBINA ditubuhkan seawal 7 tahun yang lalu, PEMBINA telah mampu membina pengaruh dan mengesani arus politik kampus dalam mengimbangi arus gerakan mahasiswa yang dilihat banyak dikaitkan dengan parti politik yang merosakkan aktivisme mahasiswa.

Beliau menyeru aktivis-aktivis PEMBINA di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) supaya tidak lagi menggunakan pendekatan lapuk dalam mendekati mahasiswa.

“Pelbagai pakej telah diperkenalkan oleh PEMBINA seperti pakej Kepimpinan, Tarbiyah, Media, Rekreasi dan Bakti, dan ianya harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh aktivis PEMBINA dalam bersaing secara sihat dengan pelbagai gerakan mahasiswa di kampus,” ujar beliau.

Ketua Cawangan PEMBINA Johor, En. Mohd Khairul Ahmad turut menambah bahawa PEMBINA mempunyai visi dan misi tersendiri dan berbeza dengan gerakan mahasiswa yang sedia ada.

“Kelompongan dan kelesuan yang berlaku kepada mahasiswa masa kini mendorong untuk PEMBINA bergerak dengan lebih laju ke hadapan agar jiwa golongan muda hari ini diisi dengan agenda Islam,” katanya.

Aktivis-aktivis PEMBINA juga diingatkan agar tidak lesu dan perlu memastikan keseimbangan antara aktivisme dan tarbiyah diri.

Objektif utama TOD adalah untuk memberi pendedahan kepada para aktivis PEMBINA Johor mengenai aspirasi dan gerak kerja PEMBINA bagi tahun 2014 disamping merangka persediaan bagi menyambut pelajar baru pada bulan September akan datang.

Perbincangan yang berlangsung telah memberi peluang kepada para aktivis untuk berkongsi gerak kerja dan idea bagi memastikan aspirasi PEMBINA tercapai.

Seramai 45 orang aktivis belia dan beliawanis telah menyertai program TOD. Para peserta terdiri dikalangan mahasiswa PEMBINA dari IPT sekitar Johor Bharu iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pasir Gudang, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Institut Teknologi Maritim Belanda (NMIT), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Kolej Islam Johor (MARSAH).

Nurul Faratihah Ibrahim
Wartawan PEMBINA Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top