Info Asas al-Quran

Assalamualaikum saya ucapkan kepada warga pembaca,

Segala puji kita panjatkan kepada Ilahi, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya, para sahabat, tabi’ – tabi’in dan buat semua pendokong-pendokong dakwah yang berusaha mengembangkan agama Allah di atas muka bumi ini.

InsyaAllah dalam pertemuan kali ini, kita akan cuba menambah sedikit pengetahuan kita mengenai al-Quran. Semoga dengan perkongsian ilmu yang sedikit ini mampu kita fahami dan mengingatinya untuk selamanya. Cubalah berusaha untuk menghafaz maklumat-maklumat asas ini.

1-Penurunan secara beransur-ansur

Berbincang mengenai penurunan al-Quran, maka para ulamak berpendapat beberapa hikmah diturunkan al-Quran itu secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.a.w antaranya seperti berikut ;

  • Memperkuatkan hati Baginda Nabi dalam menghadapi pelbagai urusan dengan wahyu (mukjizat) berterusan.
  • Beransur-ansur dalam mentarbiyah umat Islam yang semakin bertambah serta dapat menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan mereka.
  • Mudah untuk menghafaz ayat-ayatnya dan senang diamalkan isi kandungannya yang mengandungi pelbagai hukum dan tuntutan.

2-Ayat Pertama Diturunkan

Mengenai ayat yang mula diturunkan pula dikalangan ulama’ juga berbeza pendapat. Adapun pendapat yang paling masyhur ialah firman Allah Ta’ala di dalam surah al-’Alaq ayat 1 – 5.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan menyebut nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia dengan perataraan Qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”

3-Ayat Terakhir

Ayat yang terakhir diturunkan juga terdapat pendapat yang berbeza dikalangan ulama’. Ada yang menyatakan ayat ke 3 dari surah al-Maaidah :

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Namun pendapat yang sahih mengatakan ayat terakhir ialah ayat 281 dari surah al-Baqarah :

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) Yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

Sekian sahaja untuk pertemuan kali ini, rajin-rajinlah menelaah Al-Quran.

Jumpa lagi pada posting akan datang.

Assalamualaikum wrt.

Ustaz Rizal Sabran

B.A. Al-Azhar

Pengajian Al-Quran & Qiraat 2004

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top