Laksana GST elak berlaku inflasi

KERAJAAN telah memutuskan untuk melaksanakan sistem cukai baru yang dinamakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menggantikan sistem cukai yang lama iaitu cukai jualan dan perkhidmatan ketika pengumuman Bajet 2014.

Sistem cukai baru ini bakal dilaksanakan bermula tahun 2015 dan telah kelihatan berbagai reaksi yang ditunjukkan dari masyarakat awam berkenaan pelaksanaan sistem cukai ini.

Sebahagian rakyat Malaysia menolak manakala sebahagian lagi menerima pelaksanaan sistem cukai ini.

Sistem ini diberitahu bakal membantu dalam menjana sumber kewangan negara dan hasil daripada itu boleh digunakan dalam pembangunan infrastruktur negara untuk keselesaan rakyat.

Namun, terdapat sebahagian rakyat Malaysia yang menolak sistem ini dengan alasan ianya akan lebih membebankan rakyat dari membantu rakyat.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sistem GST ini, ikuti wawancara bersama Penasihat Syariah, Maybank, Ibrahim Mohd Hasan.

SINAR HARIAN ONLINE: Boleh Ustaz Ibrahim terangkan definisi GST?

IBRAHIM: Cadangan untuk mengganti sistem cukai jualan dan perkhidmatan kepada cukai konsumpsi yang digelar sebagai GST diperkenalkan dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan.

Ini merupakan penyusunan semula sistem percukaian negara termasuk mengkaji peruntukan yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Ini katanya bertujuan untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan dan berupaya menjana hasil negara.

GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. Pada masa ini cukai jualan dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat perkilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu termasuk profesional, hotel dan restoran.

GST didakwa sebagai sistem cukai yang lebih komprehensif, efisyen, telus dan efektif. Ia juga diduga akan menambahkan pendapatan cukai tahunan untuk kerajaan.

SINAR HARIAN ONLINE: Boleh Ustaz jelaskan peranan GST terhadap ekonomi negara?

IBRAHIM: Cukai memainkan peranan yang cukup penting dalam memacu ekonomi dan pentadbiran sesebuah negara. Ianya adalah alat atau mekanisma dalam memastikan sesebuah pentadbiran negara itu mampu diurus dengan berkesan dan efisyen.

Sama ada ia cukai jualan dan perkhidmatan ataupun GST, kedua-duanya hanyalah mekanisma atau struktur cukai yang boleh berubah bila dirasakan perlu oleh pihak kerajaan mengikut kesesuaian dan kehendak pada sesuatu masa.

Dalam menguruskan ekonomi sesebuah negara, kerajaan mempunyai pilihan samada untuk meningkatkan cukai, penstrukturan semula cukai atau membuat pinjaman melalui bon atau dengan bank luar.

SINAR HARIAN ONLINE: Boleh Ustaz Ibrahim ceritakan kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang pelaksanaan sistem GST pada ekonomi dan rakyat?

IBRAHIM: Sudah tentu penstrukturan semula cukai kepada GST dirancang untuk menambah pendapatan negara kerana mana-mana negara pun ingin membaik pulih ekonomi mereka.

Namun terlalu awal untuk kita menilai dan menjangka kesan kepada ekonomi negara kerana terlalu banyak perkara yang masih belum ditentukan oleh pihak kerajaan dan pemboleh ubah lain yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Bagi rakyat pula, pelan inisiatif dan mekanisma kawalan harga adalah cukup penting bagi mengelak pihak yang mengambil kesempatan terhadap pengenalan GST terutamanya peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

Pihak kerajaan juga telah memberi komitmen untuk tidak mengenakan cukai terhadap barangan keperluan asas supaya golongan miskin tidak terjejas. Dalam masa yang sama, rakyat perlu bijak berbelanja dengan mengenal pasti barangan keperluan atau kehendak supaya dapat berjimat cermat dalam perbelanjaan.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah cukai GST ini relevan untuk dilaksanakan di Malaysia?

IBRAHIM: Pelaksanaan GST di negara ini merupakan satu langkah wajar memandangkan kebanyakan negara lain telah melaksanakannya.

Di samping itu, jaminan kerajaan untuk mengecualikan cukai tersebut terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan asas bertujuan untuk tidak membebankan pengguna berpendapatan rendah di samping mengelak berlakunya inflasi.

GST hanya dikenakan kepada barangan atau perkhidmatan mewah yang mampu dibeli oleh pengguna berpendapatan tinggi.

Di samping itu perniagaan kecil juga dikecualikan daripada GST. Sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST.

Dalam Asean, hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkannya. Ditambah lagi, dikatakan GST akan dapat mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individu.

Kini negara jiran yang melaksanakan GST adalah Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kadar GST yang diguna oleh negara-negara ini waktu ini ialah Singapura 5 peratus, Thailand 7 peratus, Indonesia 10 peratus (digelar sebagai cukai nilai tambah – VAT) dan Filipina 10 peratus.

(Sumber)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top