Ikon Beliawanis Mac 2012

“Beraktivitilah, Tanpa Melupakan Nilai-nilai Islam”, ukhti Sih Sayekti.

Dalam kelembutan, terselit ketegasan. Itulah seorang aktivis yang lahir hasil proses tarbiyyah yang berterusan dalam kehidupan beliau. Sih Sayekti Ngadimun, satu nama yang tidak asing lagi di kalangan warga PEMBINA Gombak dan sejurusan dengan beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Beliau yang baru berumah tangga dengan salah seorang aktivis PEMBINA iaitu Mohd Syukri b. Ismail pada 5 Februari 2012 yang lalu merupakan anak ke-2 daripada 3 orang adik beradik dan merupakan anak jati Tanjung Karang, Selangor. Selepas bapa beliau meninggal dunia pada Disember 2004, beliau telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh bonda beliau iaitu Puan Sakinah Yatiman. Hal ini telah menyebabkan beliau menjadi seorang pemudi yang sangat tabah dan gigih dalam menjalani kehidupan.

Sih Sayekti Ngadimun mendapat pendidikan di SMK Dato’ Harun dan Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Beliau telah menghadiahkan sesuatu yang amat bernilai kepada ibu dan arwah bapanya apabila dianugerahkan gelaran al-hafizah bagi peringkat persijilan di Darul Quran, JAKIM. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Islamik Perakaunan di UIAM dan telah cemerlang dengan mendapat CGPA 3.67 iaitu kepujian kelas pertama sehingga dianugerahkan penghargaan senarai Rektor sewaktu majlis konvokesyen UIAM yang lepas. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Eksekutif Sekretariat Syariah, RHB Islamic Bank Bhd.

Semasa menuntut di UIAM, tokoh ini merupakan seorang yang sangat aktif sehingga ketokohan beliau terserlah apabila diberi kepercayaan menjawat jawatan-jawatan penting dalam kelab yang disertainya. Antaranya ialah, beliau dilantik menjadi Timbalan Presiden 2, Student Facilitator Team (Steadfast), memenangi Gold Certificate of Achievement IIUM Censerve Team, Penolong Bendahari bagi program Siswa Turun Ke Desa, Pengarah Program Kem Bina Islam SK Seri Delima, Setiausaha Variety Bazar Economics Fiesta, Fasilitator Personal Growth Group, Peer Tutor bagi Student Learning Enhancement Unit dan Setiausaha Bazar Ramadhan IIUM Endowment Fund.

Walaubagaimanapun, keaktifan dalam kelab-kelab lain tidak menghalang beliau untuk turut aktif dalam PEMBINA. Ketokohan kepimpinan beliau ternyata tidak dapat disangkal lagi apabila diberi amanah menjadi AJK bagi program yang dianjurkan oleh Pembina Gombak dan Pembina UIAM. Antaranya ialah AJK Tugas-tugas Khas bagi Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan anjuran PEMBINA Gombak, Timbalan Pengarah Program Forum Valentine anjuran PEMBINA UIAM, AJK Tajaan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim, AJK Tajaan Fit & Fabulous Gombak, AJK Aktivisme Mahasiswa bagi PEMBINA Cawangan Gombak, Timbalan Setiausaha PEMBINA UIAM, Pengarah Program Bowling Beliawanis Gombak 2011 dan AJK Sambutan Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis.

Ketika ditanya mengenai PEMBINA, beliau mempunyai pandangannya tersendiri. Bagi beliau, PEMBINA merupakan satu medan yang amat baik untuk para beliawanis turun bersama masyarakat bagi mengadakan aktiviti dan berorganisasi secara aktif dengan tidak mengabaikan nilai-nilai Islam dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Penglibatan beliau dalam PEMBINA meningkatkan kesedaran beliau tentang tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini, membantu beliau mempertingkatkan kemahiran-kemahiran yang dipelajari secara teori, serta belajar menghadapi cabaran dan meningkatkan kemahiran komunikasi kerana aktiviti yang dijalankan oleh PEMBINA melibatkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Di samping aspek rohani yang sentiasa ditekan oleh PEMBINA setiap kali menganjurkan program telah menjadikan setiap aktivis dapat memenuhi keperluan hidup mereka dengan lebih syumul.

Apabila ditanya apakah rahsia kejayaan beliau selama ini, beliau mengatakan bahawa perkara paling utama adalah menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Disamping pengurusan masa yang bijak dan meletakkan prioriti di tempat yang betul. Selain itu, beliau mengajak para beliawanis agar banyak bergaul dengan individu yang bercita-cita tinggi dan bermotivasi agar dapat menjadi pemangkin buat diri sendiri.

Nasihat beliau kepada beliawanis agar melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran supaya keseimbangan dalam hidup dapat dicapai. Beliau optimis bahawa para beliawanis mempunyai banyak kualiti yang mampu digarap untuk berperanan penting dalam aktivisme dakwah Islam dan dalam masa yang sama masih menjaga adab dan tatatertib sebagai seorang Muslimah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top