Tarikh itu merupakan tarikh keramat,kesunyian Jalan Hiliran Kuala Terengganu pecah dek riak-riak tangisan si kecil yang baru keluar dari rahim ibunya itu. Langsung tidak menyangka si ibu, anak yang dikandungnya 9bulan itu bakal membawa sinar kepada ummah, mencurah bakti kepada masyarakat tanpa meminta balas. Beliau benar-benar ikhlas dalam mencari redha Allah mendidk masyarakat kembali berakhlak seperti Rasulullah.
Sungguh, tarikh keramat tanggal 19 Mei 1990 itu amat memberi makna yang mendalam kepada pasangan Mohd Hamdan Mohamed dan Fatimah bt Harun. Bagai minyak yang ditatang dengan penuh, anak kecil ini diberi kasih sayang secukupnya. Tidak cukup dengan kasih sayang, tarbiyah Islamiyah sangat dititikberatkan pasangan ini untuk puteri mereka yang tercinta, dengan harapan satu masa nanti beliau akan menjadi srikandi Islam yang bakal membawa perubahan kepada dunia Islam yang makin tenat zaman ini.
Meskipun pasangan pakcik Hamdan dan Makcik Fatimah ini mempunyai tanggungan anak yang ramai sejumlah 12 orang anak, namun, itu tidak menjadi alasan kepada mereka untuk membajai anak ke enam mereka ini dengan ilmu pendidikan yang tinggi. Sejak kecil lagi, srikandi ini telah ditekankan dengan kepentingan mempelajari ilmu pendidikan Islam oleh orang tuanya, lantas, tanpa berfikir panjang, selepas tamat pengajian rendah, beliau menyambung langkah ke institusi pengajian yang menawarkan pengajian agama di salah satu daerah di negeri kelahirannya, iaitu Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang, Terengganu Darul Iman.
Perjalanan beliau di institusi Imtiaz ini tidak disia-siakan dirinya. Setiap titisan ilmu yang mengalir di medan ilmu dihirup dengan penuh pengharapan mengharap redha Illahi kerana beliau faham akan tugas dakwah yang menanti di luar sana. Bakat beliau diasah melalui penyertaan di dalam pelbagai aktiviti sekolah meliputi kesemua bidang iaitu akademik, sukan, kebajikan mahupun usahawan. Buktinya, beliau telah mewakili Negeri Terengganu di dalam pelbagai pertandingan peringkat kebangsaan seperti pertandingan Pidato Karnival Soleh Pintar Peringkat Negeri Terengganu dan pertandingan Pidato Bahasa Arab Musabaqah SMA Negeri Terengganu. Di peringkat sukan pula, beliau aktif di dalam sukan petanque dan kawad kaki sehingga berjaya mewakili Negeri Terengganu di pertandingan Petanque peringkat kebangsaan & Kawat Kaki peringkat negeri. Bukan setakat itu, disebabkan bakat kepimpinan yang terserlah sejak kecil lagi, maka guru-guru di Imtiaz tidak teragak-agak melantik beliau menjadi Pen. Ketua Pelajar pada tahun 2006.
Akur dengan tuntutan menuntut ilmu hingga ke hembusan nafas terakhir, srikandi yang mempunyai bakat menulis cerpen dan sajak ini telah memilih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk mengembangkan lagi platform untuk dirinya berbakti kepada masyarakat. Walaupun orangnya kecil, itu tidak boleh menjadi ukuran keterbatasan untuk dirinya berkhidmat di peringkat pengajian tinggi. Sifatnya yang suka mencuba perkara baru seperti fotografi telah membuatkat beliau sentiasa proaktif. Di UIAM sendiri, beliau merupakan antara pemegang tertinggi jawatan di beberapa buah kelab iaitu Kelab Titian Asli, Quranic Language Club. Malahan beliau masih berjaya mengekalkan CGPA yang cemerlang iaitu 3.58 bagi CGPA terkini dengan berbaki 1 sem sahaja lagi pengajian beliau di UIAM.
Di Kelab Titian Asli, jasanya bukanlah calang-calang, antara jawatan yang pernah disandang adalah, Pengarah Program Kem Asas Keusahawanan 2, AJK Special Task Program Bersama Anak Yatim (BEDSA), Setiausaha Titian Asli Grand Integration Day (TAGID), Penyelaras Program Titian Asli Health Day , Bendahari Kem Matematik dan Fardhu Ain 5 & 6, Timb. Pengarah Program Dakwah Skill Course, AJK Nur of Ramadhan 2, AJK TACT Advanced Training,dan Mantan Setiausaha 1.
Beliau juga pernah menjadi Setiausaha di Quranic Language Club, mantan AJK Biro Kebajikan, Bachelor of Education Student Society dan Mantan Block Representative Club di Mahallah -Safiyyah, UIAM. Jasanya yang tidak ternilai itu telah ditabur tanpa mengharapkan apa-apa balasan manusia. Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya, budi baik srikandi ini ternyata telah disedari oleh pihak pengurusan tertinggi UiaM sendiri, lantas beliau telah terpilih menjadi penerima anugerah Bronze Certification Award, CENSERVE pada tahun 2011.
Walaupun hidup dengan kesibukan tugas sebagai seorang pelajar UIAM tahun-3 dalam Jurusan Pendidikan Bahasa Arab, itu tidak pernah memungkinkan beliau untuk bergiat aktif sebagai seorang aktivis dalam PEMBINA samada di peringkat UIAM mahupun di peringkat Gombak. Sumbangan-sumbangan beliau dalam PEMBINA dapat dilihat dalam pelbagai program yang dianjurkan dengan memikul pelbagai peranan penting seperti Setiausaha AGM Pembina UIAM, Penyelaras Program It’s About Your Health, Jawatan Kuasa Biro Promosi Kuliah Sirah, AJK Biro Tajaan Fit & Fabulous, Pembina Gombak, AJK Biro Tajaan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim (KKMM 2010), AJK Biro Sambutan Seminar Pengurusan Kewangan & Keusahawanan (SPKK 2009), AJK Biro Kebersihan & Keceriaan Hari Keluarga ISMA Gombak 2011 dan Penolong Pengarah Program Mass Gathering & Family Day PEMBINA Gombak(2012). Dalam PEMBINA UIA, serikandi ini juga adalah bekas Setiausaha dan pernah menjadi AJK Biro Media dalam organisasi tersebut.
Di akhir temubual oleh pihak Media PEMBINA Gombak, beliau menyatakan bahawa tidak dapat tidak, seorang aktivis yang menjulang islam sebagai agamanya pasti mempunyai perjalanan hidup yang berbeza daripada manusia biasa. Beliau juga menyatakan dengan tegas dalam tutur katanya yang lembut iaitu amat rugi bagi seorang pemuda yang diberi kekuatan tenaga luar biasa oleh Allah tetapi tidak disalurkan kepada gerak kerja yang membantu meninggikan agama Allah.
Bagi melengkapi sasaran PEMBINA Gombak untuk melahirkan dua orang ikon beliawanis daripada kalangan yang bekerja dan mahasiswi bagi tahun 2012, setelah diamati dan diteliti betapa besarnya sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh beliawanis ini, selayaknyalah gelaran Ikon Beliawanis PEMBINA disandang oleh Pen. Ketua Jawatankuasa Aktivisme Mahasiswa(JKAM) PEMBINA Gombak, Saudari Siti Radhiah Syahida bt. Mohd. Hamdan.
Sumber: Laman sesawang PEMBINA Gombak