Dengan paras rupanya, dia lebih elok dari mentari
Dengan rendah hatinya, dia lebih tinggi dari rembulan
Dengan akhlaknya, dia lebih harum dari mewangi
Dan dengan kelembutannya sebagai seorang wanita, dia lebih halus dari titik-titik hujan.
Ikon beliawanis kali ini menampilkan seorang pelajar kejuruteraan yang bersifat tegas dalam kelembutan, itulah susuk peribadi yang dimiliki oleh saudari Farah Alina binti Ab. Aziz. Nama yang tidak asing dikalangan warga PEMBINA Perlis. Dilahirkan di Teluk Intan, Perak, beliau merupakan pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Rekabentuk Produk. Anak gadis milik Encik Ab. Aziz Mohamad dan Puan Halimah Yaacob ini dilahirkan dalam keluarga yang besar, beliau merupakan anak tengah daripada lima orang adik beradik. Hasil didikan ibu dan bapanya, kesemua adik beradik beliau berjaya dalam bidang masing-masing.
Farah Alina mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Teluk Intan. Lantaran mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR, beliau menyambung persekolahannya di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pasir Salak, Perak. Merancang untuk melangkah ke alam universiti dalam peringkat Sarjana Muda, beliau kemudian menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Perak (KMPk) dalam jurusan Sains Fizikal selepas tamat SPM. Kini, beliau merupakan pelajar semester akhir di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Beliau merupakan seorang beliawanis yang aktif semenjak dibangku sekolah lagi. Pernah menjadi beberapa kali menjadi Johan dalam perlawanan tenis yang disertai, antaranya Perlawanan Tenis Peringkat Daerah Hilir Perak kategori Perempuan Bawah 15 Tahun. Perlawanan Tenis Daerah Hilir Perak Bawah kategori Perempuan bawah 12 Tahun, Perlawanan Tenis KMPk kategori perempuan, dan Perlawanan Tenis anjuran Kelab Tenis KMPk. Malah, beliau juga pernah mewakili daerah Hilir Perak, daerah Batang Padang, MRSM Pasir Salak, KMPk dan menyertai perlawanan terbuka dalam sukan tenis di negeri Perak. “Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.” Minat beliau yang mendalam dalam sukan Tenis ini disemai oleh ayah beliau sendiri, yang juga merupakan jurulatih peribadinya. Selain tenis, beliau juga pernah mewakili sekolah dan daerah dalam sukan bola jaring, badminton dan boling. Namun begitu, tarbiyah mengajar segalanya. Selepas ditarbiyah, beliau telah berhenti daripada mewakili apa-apa perlawanan sukan dan kini, beliau menyumbangkan keringat beliau dalam aktiviti-aktiviti sukan bagi beliawanis-beliawanis PEMBINA Perlis.
Bak mawar berduri, keaktifan beliau bukan sahaja dalam bidang sukan semata-mata, tetapi bakat kepimpinan beliau juga tidak kurang hebatnya. Pernah memegang jawatan sebagai Lembaga Disiplin Pelajar, Naib Presiden Homeroom, Naib Presiden Kadet Bomba, Naib Presiden Kelab Tenis dan Presiden Kelab Berita semasa menuntut di MRSM Pasir Salak, cukup untuk menggambarkan keistimewaan kepimpinan yang dimiliki oleh beliawanis ini. Bukan itu sahaja, malah semasa menjadi wirawati PLKN di Kem Teluk Rubiah selepas peperiksaan SPM, beliau diberi kepercayaan oleh rakan-rakan dan jurulatih untuk menjadi Ketua Wirawati Kompeni Alpha dan Ketua Wirawati Muslimah. Pengalaman sebagai pemimpin diasah lagi apabila beliau diberi ruang untuk menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis sesi 2009/2010, sebagai Exco Kepimpinan dan Organisasi.

Sepanjang liku-liku hidup sebagai aktivis PEMBINA, banyak sumbangan yang telah beliau sumbangkan. Kini, beliau merupakan Naib Presiden 2, merangkap Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Perlis. Kesibukan beliau sebagai aktivis PEMBINA tidak membuat beliau lupa pada tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar, tetapi ia menjadi pemangkin bagi beliau untuk cemerlang dalam pelajarannya. Ia terbukti apabila beliau telah beberapa kali mendapat Anugerah Bestari dan pernah juga dihadiahkan baucer Buku oleh pihak Universiti kerana memperoleh CGPA tertinggi semasa di tahun pertama pengajian.
“Bersungguh-sungguh dalam membuat setiap pekerjaan. Sentiasa luruskan niat, bawa keikhlasan, cipta kegembiraan, bina tawakkal dan sertai dengan doa, insyaAllah kejayaan akan menyusul bersama kita.”
Itulah jawapan beliau apabila ditanya tentang rahsia kecemerlangan beliau. Tambah beliau lagi, yang paling penting adalah menjaga hubungan dengan Allah SWT. Beliau menasihati bahawa kita perlu yakin bahawa perjalanan hidup kita ini telah Allah aturkan yang terbaik untuk kita. Jangan pernah kita bersangka buruk pada Allah. Sentiasa optimis dan bersangka baik dengan semua orang. Selain itu, beliau menyarankan agar kita bijak untuk meletakkan yang priority sebagai tindakan awal sebelum kita menyusun agenda lain dalam intisari kehidupan seharian. Beliawanis cekal ini sentiasa berpegang dengan pesanan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286 “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”
Bagi beliau, menyertai aktiviti PEMBINA membentuk dirinya menjadi individu muslim yang musleh. Paling utama, letakkan Allah SWT sebagai sandaran dan cinta utama dalam hidup kita, nescaya kita akan memperoleh kebahagiaan hidup yang kita cari selama ini. Tiada yang lebih indah bagi kita semua melainkan apabila redha dan rahmat Allah sentiasa bersama kita. Aktiviti PEMBINA yang pelbagai telah membawa beliau bertemu dengan berbagai-bagai ragam manusia dan dengan itu beliau telah belajar banyak perkara tentang kehidupan, lantaran bagi beliau itulah yang lebih mematangkan beliau.
Nasihat beliau kepada semua beliawanis yang dikasihi agar sedaya upaya seimbangkan kehidupan kita untuk dunia dan akhirat. Sertai aktiviti-aktiviti PEMBINA agar kita dapat merasakan betapa indahnya hidup kerana Allah, manisnya ukhuwah fillah dan lazatnya keimanan. Beliau optimis bahawa belia dan beliawanis wacana ini perlu hidup secara berkumpulan kerana dalam arena masyarakat yang kian membimbangkan, dengan masalah-masalah sosial yang memuncak, belia dan beliawanis perlukan sokongan padu daripada rakan-rakan yang baik untuk terus berada dalam persekitaran yang selamat. Kitalah generasi harapan yang diharapkan untuk membangun ummah beragenda.