Hijrah menuju Islam gagasan belia negara

pembina gombak

Kisah hijrah nabi s.a.w merupakan panduan hidup kepada ummat Islam dalam mengurus kehidupan sebagai generasi penerus kepada dakwah baginda s.a.w. Awal muharram seringkali dikaitkan dengan peristiwa Hijrah baginda s.a.w ke Madinah kerana ia merupakan satu titik tolak untuk Islam terus menyinar dan berkembang sehingga berjaya menguasai 2/3 dunia. Peristiwa ini juga menjadi batu loncatan untuk mengubah nasib dan keadaan ummat Islam daripada dihina, diseksa dan diperlekehkan kepada suatu ummat yang mempunyai kebanggan (‘Izzah) dan merasa mulia dengan agamanya. Sehinggakan ummat Islam berjaya bangkit memimpin dunia dan membina sebuah tamadun dengan mengalahkan dua kuasa besar dunia ketika itu iaitu Rom dan Parsi.

Belia dan Negara Islam Kunci Kejayaan

Kunci kejayaan ummat Islam pada ketika itu terletak kepada negara Islam Madinah sebagai pusat pemerintahan Islam dan pemuda yang terbina hasil daripada tarbiyyah nabawiyyah. Para sahabat nabi sedar bahawa penggabungan mereka dengan Islam bukan hanya sekadar mengeluarkan diri mereka dari kesesatan tetapi mempunyai kesedaran dan tanggungjawab untuk membebaskan seluruh manusia daripada kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam sebagai sebuah sistem yang syumul. Ini sekaligus telah mencipta suatu kegerunan kepada pihak musuh yang takut dengan kebangkitan Islam justeru mengambil tindakan untuk menyekat perkembangan Islam melalui siri peperangan terhadap Islam.

Sirah Inspirasi Kebangkitan Belia

Peritiwa penghijarahan nabi s.a.w bukan hanya untuk dijadikan sebagai cerita penglipurlara setiap kali awal Murharam atau dibiarkan reput dalam lipatan buku sirah. Sebagai anak muda, selain daripada membaca sejarah, adalah penting untuk kita mengambil pengajaran dan menjadikan ia sebagai panduan dalam menentukan gerak kerja kita demi memartabatkan Islam. Kerana kita adalah belia dan kita adalah asset terpenting dalam membawa agenda perubahan.

Islam Gagasan Belia Negara

Oleh itu, PEMBINA berazam untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam melalui pembinaan jatidiri belia dengan melahirkan rijal-rijal (pemuda) yang hebat untuk membina sebuah negara Islam di Malaysia! Keazaman ini dilaungkan melalui slogan ‘Islam Gagasan Belia Negara’ yang menjadikan Islam sebagai asas pembentukan negara yang dibina bersama-sama belia yang sentiasa ingin menyumbang dan berkorban demi tanah air tercinta.

Pencairan Identiti Negara Islam

Namun hari ini, belia kita semakin segan dan rasa kekok untuk melaungkan slogan ‘Negara Islam’ dengan alasan menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama. Mereka lebih selesa melaungkan slogan yang menyeru kepada kebajikan dan keadilan sosial seolah-olah negara Islam mengabaikan aspek sedemikian. Walhal Islam merupakan sebuah sistem yang lengkap dan syumul meliputi segala aspek kehidupan baik dari sudut ekonomi, kebajikan sosial dan politik. Keengganan sesetengah belia untuk melaungkan slogan negara Islam hanya menjauhkan belia terhadap kefahaman Islam yang sebenar.

Model Negara Islam Tersendiri

Kita mesti menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik dan tersendiri. Malaysia adalah satu-satunya negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan negara. Setiap negeri di Malaysia mempunyai mufti-mufti dan raja-raja yang menjaga kedaulatan agama Islam. Oleh itu, negara Islam yang ingin kita bina bukanlah seperti negara Arab Saudi yang berasakan sistem monarki. Negara Islam kita juga bukanlah seperti negara Turki di mana sekularisma menjadi prinsip asas dalam menentukan dasar negara. Negara Islam yang ingin kita bina bersama ini adalah berdasarkan acuan yang kita bina sendiri dengan merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai asas tanpa menjadikan mana-mana negara sebagai model rujukan.

Tanggungjawab Kita

Oleh itu, sempena permulaan tahun baru hijrah ini, PEMBINA menyeru belia Islam agar kita kembali menyelusuri sirah nabi s.a.w dengan mengembalikan semangat dan ruh negara Islam dalam membina negara kita yang tercinta ini. Kerana ini adalah negara kita dan ia menjadi tanggungjawab kita untuk menentukan halatuju kita sendiri.

Ibrahim Mohd Hasan,
Presiden PEMBINA 2015
1 Muharram 1437 Hijrah
#IslamGagasanBeliaNegara

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top