Hari Alastu & K-POP: Satu Muhasabah

ALASTU

Suka untuk saya mulakan penulisan ini dengan mencermati beberapa perkara. Bahawasanya saya tidak akan melakukan satu tindakan memukul rata mereka yang bertudung untuk satu insiden memalukan di mana mereka ini telah dipeluk, dicium dan dinodai secara sukarela di khalayak ramai sehingga mencetuskan kemarahan mereka yang sensitif terhadap nilai Islam dan adab kita sebagai Melayu yang kian luntur jati dirinya.

Saya juga tidak akan memberikan komentar yang panjang-panjang menceritakan kemarahan saya sebagai seorang lelaki juga mungkin sebagai seorang abang andainya adik perempuan saya diperlakukan sedemikian rupa. Saya cuma mahu membawa para pembaca samada muslimin atau muslimat untuk mendalami beberapa perkara yang asasi dan penting agar kita akan lebih berhati-hati seterusnya menginsafi tujuan asali kita hidup di dunia ini bukan untuk berhibur sakan sahaja tanpa menyedari yang kita ini akan mati dan diadili di Hari Pengadilan kelak!

Kehilangan adab. Adab merupakan satu perbuatan yang berpunca daripada kebijaksanaan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar. Satu persoalan yang ingin saya bangkitkan di sini. Adakah Allah menciptakan muslimat itu, dahinya adalah untuk diletakkan pada bibir lelaki ajnabi samada ia kafir atau muslim? Adakah Allah menciptakan muslimat itu, pinggulnya untuk dipeluk dan dadanya untuk ditekapkan pada badan lelaki ajnabi samada ia kafir mahupun muslim? Adakah Allah menciptakan belakang dan punggung muslimat itu untuk didakap dari belakang sesukanya mereka? Adakah benar tempat letaknya muslimat itu sedemikian rupa? Tambahan pula dipertontonkan perbuatan itu seolah-olah rasa malu telah tersingkir daripada dirinya dek kekacakan kaum yang mengambil kesempatan? Adakah benar ini semua?

Tanyakan pada diri anda adakah anda benar-benar beradab untuk memperlakukan diri anda sedemikian rupa, meletakkan diri anda pada tempat itu? Adakah itu tempat selayaknya bagi diri anda sebagai muslimat walhal pada kebenarannya telah Allah angkat setinggi-tingginya kedudukan kalian selepas kedatangan Islam!

Berikut merupakan penjelasan dan peringatan mengenai Hari Alastu atau Hari Perjanjian di Alam Roh yang telah berlangsung di antara kita, makhluk yang tidak berjasad dengan Allahu Subhanahu wa Ta’ala oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Bermula daripada ayat 172 daripada surah al-A’raf dicerahkan dengan pentafsiran  ayat daripada surah al-Tin, kembali kepada surah al-A’raf ayat 179:

Apabila Tuhanmu mengeluarkan daripada anak Adamdaripada tubuhnyazuriatnya dan menyuruhnya mengangkat saksi terhadap dirinya dengan berkata: ‘Bukankah Aku Tuhan kamu?’Maka mereka berkata: ‘Ya! kami saksikan!’- Surah al-A’raf: Ayat 172.

Maksudnya bahawa insan telah membuat Perjanjian dengan Tuhannya Yang diakuinya sebagai Khalik Yang Membina serta memeliharanya, dan Perjanjian ini adalah pengakuan penerimaan tugas serta tanggungjawab insan kepada dirinya terhadap Tuhannya; dan inilah sifat bawaan semulajadi insan yang suci-murni sebelum dia terkena noda hayawani, sebagaimana dikatakan seterusnya di tempat lain:

‘Sesungguhnya telah kami jadikan insan dalam acuan yang terbaik, kemudian telah Kami hinakan dia sehingga menjadi lebih rendah daripada yang paling rendah.’-Surah al-Tin: Ayat 4-5.

Manusia yang ghafil (lalai) akan hutang diri dan budi dan daya, serta tugas dan tanggungjawabnya, yang patut semata-mata ditujukan dan ditumpukan ke Hadrat Tuhannya, telah memungkiri Perjanjiannya, dan dengan demikian telah juga menzalimi dirinya dan nasibnya merugi dan keadaannya lebih sesat daripada haiwan:

‘Mereka itu seperti lembubahkan justeru lebih sesat daripadanya; mereka inilah yang ghafil’-Surah al-A’raf: Ayat 179.

Di sini, berhubung insiden memalukan yang berlaku semalam dapatlah kiranya kita mengambil muhasabah bahawa kita ini hidup bukanlah sekadar hidup tanpa peranan dan tujuan. Pada asalinya lagi kita ini telah terikat kepada satu perjanjian yang mana kita ini telah mengakui akan Allah sebagai  Khalik dan kita sebagai makhluk. Oleh itu, sebagai makhluk yang mempunyai perkaitan dengan Khalik sepertimana pada kata dasar kedua-dua perkataan makhluk dengan Khalik (khulk- satu hubungkait yang bukan kebetulan!) perlulah menginsafi akan pertalian ini, terus benar-benar melaksanakan apa yang telah dipertanggungjawabkan  dan meninggalkan apa yang telah disempadankan yakni syariat Islam. Adakah perbuatan dipeluk dengan sukarela, menggilai K-POP termasuk dalam syariat Islam yang diredai?

Tanya pada diri kita semula, adakah benar ibu bapa kita menyukai tabiat kita yang gilakan K-POP? Soalan ini tidak dibataskan kepada muslimat sahaja. Bahkan, amat menyedihkan lagi telah banyak muslimin yang meniru-niru gaya, fesyen dan cara bergaul mereka yang dari Korea Selatan ini termasuk yang berkelakuan lembut dan bukan ‘jantan’ sebagaimana yang sepatutnya.

Andai ibu bapa kita sendiri tidak suka dan tidak menyenanginya, adakah benar Allah turut meredainya? Krisis hiburan yang melampau ini sebenarnya diakui bukan baru namun peringatan demi peringatan tetap diberikan agar kita yang masih diberikan kesempatan waktu untuk hidup dapat akhirnya insaf dan bertaubat seterusnya menjadi manusia yang benar-benar mensucikan diri dan merdeka.

Saya juga percaya bahawa muslimat yang dinodai, dipeluk, dicium, diperlakukan sedemikian rupa semalam pada fitrahnya tidak menginginkan keadaan yang sedemikian. Pasti jiwanya yang sebenar meronta-ronta dan sering berfikir sendirian:

“Mengapakah setelah sekian lama aku mencari ketenangan dan kebahagiaan dalam lagu K-POP, menjadi fangirl mereka sejak sekian lama dan akhirnya dapat juga aku memeluk mereka yang sebelum ini hanya dapat dibayangkan dalam mimpi, tetap juga aku tidak berasa tenang. Sebetulnya penghayatan hidup aku semakin kabur dan hatiku terasa hampa kerana kekosongan ini…”

Penegasan yang terakhir daripada saya ialah kehampaan diri pada iman tidaklah dapat dipenuhi melainkan dengan iman jua. Kekosongan yang dirasakan mungkin dapat dirasakan penuh buat seketika dengan alunan lagu-lagu mereka yang lembut juga rancak yang tidak dapat ditolak- agak mengasyikkan. Namun sampai bila kita sepatutnya membiarkan diri kita dengan kekaburan ini? Adakah Islam mengajar kita untuk berkelakuan sedemikian. Bahkan tidak! Ditambah lagi dengan penjelasan  di atas bahawa kita diciptakan dengan satu perjanjian di Hari Alastu yang bukannya sia-sia! Syariat yang telah Islam gariskan bukan untuk ditolak tepi ikut suka hawa nafsu kita!  Perjanjian ini akan dipersoalkan semula di Hari Pembalasan.

Justeru, sementara masih hidup dan berjasad cubalah kita seupayanya untuk kembali memperbetulkan peranan kita sebagai makhluk kepada Sang Khalik. Tinggalkanlah K-POP dan pulanglah kepada fitrah asalimu muslimat dan tidak dibelakangkan dalam pesanan ini, muslimin sekalian dengan bertaubat dan menuntut ilmu yang sebenar. Semoga Allah menunjuki kita ke jalan-Nya yang lurus (siratal mustaqeem). Allahu musta’an.

Luqman Hadi Mazlan

Unit Kajian PEMBINA

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top