Pada hari ini sangat ramai daripada kita yang terkejut, malu dan sedih dengan perbuatan tidak senonoh anak gadis kita di sebuah konsert k-pop. Meskipun kita bukan malaikat namun mata yang melihat dengan bingkai keimanan dan islam akan berasa jelek dan mual melihat kelakuan para muslimah tersebut.
Pakaian muslimah yang dipakai langsung tidak dapat menjadi benteng yang dapat menjaga mereka daripada kelakuan luar batasan syarie itu. Apabila mata hati sudah terlalu silau dengan ketampanan dan kelincahan artis Korea maka sedikit demi sedikit iman terkikis hingga habis.
Menghadapi realiti ini, memang sangat mudah rasanya hendak menyalahkan individu-individu ini kerana mencalarkan imej muslimah. Namun sangat perlu untuk kita menilai sebentar hal dan suasana bagaimanakah negara kita telah melahirkan generasi muda yang sebegini.
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” -Al Ahzab:59
1. Kepincangan dalam meletakkan nilai
Jika kiri kanan kita melihat dalam masyarakat, hiburan yang dihidangkan adalah drama-drama, video klip korea serta rancangan realiti korea, ini yang menjadi zikir dan igauan setiap hari generasi muda. Sanjungan diberikan kepada kepada artis-artis hiburan dengan setinggi-tinggi sanjungan. Malah halaman akhbar juga penuh dengan cerita-cerita sensasi artis. Rupa luaran lebih bernilai daripada akhlak atau sifat terpuji. Dalam kepincangan meletakkan nilai ini sahaja kita sudah dapat melihat bagaimana corak generasi muda kita.
2. Kamu akan menyerupai orang kamu cintai
Pemuda pemudi perlu muhasabah pada diri mereka. Pemakaian mereka, percakapan mereka, sudut pandang mereka adalah mengikut acuan siapa? Adakah sama seperti apa yang dibawa oleh Rasulullah? Atau lebih menyerupai kepada bintang-bintang filem/artis/tv? Kisah hidup siapa yang lebih kita ikuti? Ikon-ikon media yang mempromosi kehidupan liberal dan hedonistik? Ataupun kehidupan para nabi dan sahabat yang seluruh kehidupannya adalah untuk menyampaikan ajaran yang menjadi cahaya kehidupan manusia.
Melihat kepada para pemuda yang lebih ramai meniru gaya artis korea dan pemudi yang tergila-gilakan artis korea, sangat perlu untuk kita melihat dan membetulkan di mana silapnya kita dalam membentuk generasi muda kita. Merekalah harapan kita dan masa hadapan kita. Sudah masa untuk kita berubah dan menolak segala bentuk kemungkaran yang menjadi perosak dalam kehidupan di muka bumi. Atau kita hanya boleh menongkat dagu sehingga datang kepada kita kehancuran?
Afiqah Hamzah
Ketua Beliawanis Pembina Melaka