"Hampas" Bukan Untuk Mahasiswa Tempatan

Baru-baru ini kenyataan Prof Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam syarahannya bertajuk “Enculturing Innovation: Seven Pillars” di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara telah mengundang kontroversi di kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau, dalam ucapannya, dikatakan menyebut bahawa sekiranya pelajar-pelajar cemerlang terus dihantar ke luar negara, maka pelajar yang tinggal di universiti dalam negara hanyalah pelajar ‘hampas’. Penggunaan kata ‘hampas’ tersebut telah menyentuh sensitiviti mahasiswa yang rata-rata melihat bahawa ungkapan tersebut seolah-olah menyamakan mereka dengan hampas yang tidak berguna. Sekiranya benar beliau menggunakan ungkapan tersebut, PEMBINA melihat bahawa ianya adalah sesuatu yang kurang berhemah dalam menggambarkan kualiti pelajar-pelajar IPT tempatan. Beliau mampu menggunakan kata-kata alternatif yang lebih baik sekiranya ingin membuat perbandingan dari sudut kualiti pelajar.

Dalam masa yang sama, PEMBINA melihat kenyataan Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini sebagai sesuatu yang positif dan salah satu usaha untuk membela kualiti mahasiswa serta imej IPT tempatan. Pada hari ini, IPT tempatan kini telah mampu bersaing di peringkat dunia. IPT tempatan telah mampu melahirkan graduan yang menjadi golongan yang “marketable” dalam sektor awam mahupun swasta, bahkan di luar negara sekalipun. Bahkan, semakin ramai pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi mereka untuk melanjutkan pelajaran. Ini membuktikan kualiti IPT tempatan yang semakin kompeten. Dengan itu, kehadiran lebih ramai lagi pelajar tempatan yang cemerlang sudah tentu akan menyemarakkan dan melonjakkan lagi kualiti pengajian tinggi dalam negara.

Terdapat baik dan buruk dalam polisi penghantaran pelajar ke luar negara. Seandainya kerajaan terlalu stereotaip dalam pemilihan pelajar tajaan ke luar negara, negara mungkin akan menghadapi pelbagai risiko seperti “brain drain” dimana ramai pelajar yang tidak pulang ke tanahair. Dengan itu, kerajaan seharusnya memikirkan kaedah terbaik untuk mengoptima penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara disamping menyalurkan mereka ke universiti tempatan untuk memperkasakan kualiti dan produk pendidikan serta penyelidikan IPT Malaysia.

Oleh itu, PEMBINA menyokong seruan dan usaha Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang dalam meminta kerajaan lebih teliti dalam menentukan jumlah pelajar cemerlang yang dihantar ke luar negara. Ini seiring dengan peningkatan kualiti sistem pengajian tinggi dan penyelidikan tanahair yang semakin baik, yang terbukti mampu menampung dan menggilap potensi para mahasiswa di dalam negara.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top