Orang muda biasa dikaitkan dengan cinta. Kekuatan cinta ini kadang-kala tidak mampu dijangkau oleh pemikiran. Ada manusia yang sanggup bergadai nyawa dan harta demi memartabatkan cintanya kepada seorang insan yang lain. Sehinggakan timbul istilah “cinta itu buta” atau “madly in love” yang menunjukkan betapa kuatnya unsur cinta dalam sesebuah ikatan.
Cinta yang mendalam akan membawa kepada pengorbanan. Para salaf telah membuktikan kecintaan mereka terhadap Allah s.w.t dan syurga, akhirnya membawa mereka ke arah pengorbanan dalam jihad mempertahankan risalah yang suci ini. Amat sukar untuk harta dunia menggantikan cinta pemangkin pengorbanan ini, sehinggakan Sultan Abdul Hamid juga tidak ingin menyerahkan Palestin meskipun ditawarkan jutaan emas. Tentera islam dahulu cukup digeruni oleh musyrikin kerana kekuatan mereka yang tidak cintakan dunia dan tidak takut mati. Betapa besarnya kekuatan cinta dalam perjuangan.
Dalam mempertahankan tanahair, perasaan cinta ini diungkap dengan satu kalimah yang biasa kita dengar iaitu “Patriotisme”. Patriotisme adalah satu sentimen wathoniyyah yang menekankan kepada aspek kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara. Mempertahankan kedaulatan negara dan kesanggupan untuk berjuang menggadai nyawa demi negara memperlihatkan tahap patriotisme tertinggi yang wujud dalam diri seorang anak watan.
Semangat patriotisme yang tinggi sangat penting bagi setiap rakyat baik dalam sebuah negara yang merdeka mahupun yang menuntut kemerdekaan. Kemerdekaan yang dicapai sesebuah negara adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Justeru, kecintaan yang mendalam kepada negara adalah asas utama untuk memastikan negara terus bebas dan merdeka dari sebarang bentuk penjajahan.
Meskipun istilah patriotisme ini sering disalahertikan sebagai satu perjuangan kebangsaan yang mutlak, itu tidak menyebabkan istilah tersebut menjadi batil dan tertolak. Uruf atau budaya yang salah dalam mengaplikasikan sifat patriotism ini tidak akan mengubah hakikat asal sesuatu perkara yang baik. Keinginan untuk mempertahankan Negara dari ancaman musuh akan bertambah utuh dengan perasaan cinta kepada Negara. Maka sebagai umat islam, kecintaan kepada Negara wajib disandarkan kepada matlamat iqamatuddiin iaitu menegakkan agama islam.
Sesungguhnya bumi berkah Malaysia berhak menuntut sifat patriotisme dari rakyatnya yang majority beragama islam. Muslim di Malaysia sewajarnya menyayangi Negara ini dengan sepenuh kecintaan, kerana disinilah bahagian kita sebagai umat islam dalam perjuangan menyebarkan risalah. Kita sama sekali tidak menolak alamiyah dalam islam dan cukup tersentuh dengan keadaan umat islam di tanah Palestin, Mesir, Afghanistan dan lain-lain. Namun kita yakin dan percaya bahawa perjuangan menegakkan risalah islam, di mana-mana tanah sekalipun, adalah satu langkah kearah menyelamatkan umat islam di serata dunia. Bak kata pepatah “think global, act local”
Oleh itu, kekuatan perjuangan kita di Malaysia bergantung terus kepada kadar kecintaan kita kepada tanahir tempat tumpah darah kita ini. Inilah yang kita sebut sebagai patriotisme, dan semestinya patriotism yang didambakan ini adalah demi mencapai redha Allah s.w.t. Ayuh pertahankan hak kita, kembalikan hak kita, kerana islam adalah rahmat buat seluruh alam dan dengan tertegak risalah islam inilah seluruh manusia akan bergembira dengan keindahannya.
Norzafry Norhalim
Presiden PEMBINA
..sempena Hari Malaysia 2011