ICERD: Mahasiswa Terkesan

Kebelakangan ini banyak terpampang di media sosial tentang isu ICERD. Ada yang menyokong dengan kefahaman, tapi ramai juga tidak. Apa sebenarnya ICERD? ICERD adalah International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau dalam Bahasa Melayunya, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum. Konvensyen ini telah dibuka untuk ditandatangani dan disahkan mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. Hingga ke hari ini, Malaysia tidak mengesahkannya. Malaysia adalah satu daripada 15 buah negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel.

Mungkin ramai yang tak jelas kedudukan ICERD terhadap perlembagaan dan kesannya kepada masyarakat, khusus kepada mahasiswa. Secara ringkas, terdapat beberapa fasal yang terdapat pada ICERD; menghapuskan diskriminasi terhadap warna, bangsa dan keturunan. Dengan mengesahkan ICERD, secara automatik, Perkara 153 di dalam perlembagaan Malaysia, iaitu mempertanggungjawabkan Yang Dipertuan Agong bagi menjalankan tugas baginda menjaga hak istimewa orang-orang Melayu, dan anak negeri Sabah dan Sarawak akan dihapuskan.

Perkara 153 menjamin, antara lain, jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan yang di adakan oleh kerajaan persekutuan. Sekiranya Perkara 153 dihapuskan, bermakna tiada lagi jaminan kuota atau rizab bagi jawatan kerajaan, biasiswa atau dana siswa dan keistimewaan pendidikan bagi orang Melayu, dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Semua kaum bebas untuk bersaing tanpa sekatan. Walaupun seakan-akan persaingan tanpa sekatan ini kedengaran baik, hakikatnya beberapa negara yang tidak menjaga hak peribumi seperti Sri Lanka, Nigeria, India, dan juga United Kingdom (beberapa tahun lepas) berada dalam keadaan kucar kacir. Faktornya adalah jurang ekonomi yang berpunca daripada peluang pendidikan yang sempit dan sumber kewangan yang tidak kukuh.

Dalam keadaan tiada pengesahan ICERD ini pun, jurang ekonomi telah dirasai, bayangkan apabila ICERD telah disahkan oleh kerajaan. Anak Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak akan jauh ketinggalan, baik daripada sudut pendidikan terbaik dan sumber kewangan yang stabil.

Adalah menjadi tanggungjawab semua anak Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang bergelar Mahasiswa untuk sedar daripada mimpi yang indah dan berfikir dengan lebih jauh tentang kesan-kesan ICERD ini. Kita adalah pewaris negara ini, jadi semestinya kita sama-sama menunjukkan solidariti kita untuk turut sama hadir pada 8 Disember 2018 ini. Jangan jadikan kita sebagai punca penjajahan alaf baru setelah kita bebas daripada sengsara 500 tahun. Jumpa anda di sana.


Mohd Khairil Alias
Pengerusi Cawangan,
Pembina Shah Alam.

 

Sumber Rujukan:

  1. Tun Abdul Hamid. ICERD dan Kesannya. 2018. https://tunabdulhamid.me/2018/11/kesan-pengesahan-icerd/
  2. Dr Muhammed Abdul Khalid. The Colour of Inequality, Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia. 2014

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top