Nilai, 10 Januari 2010 – Alhamdulillah, PEMBINA Negeri Sembilan telah berjaya menganjurkan Explorace Beliawanis bertempat di Nilai 3. Program ini mendapat sambutan ramai di mana sebanyak 15 kumpulan mengambil bahagian yang rata-ratanya merupakan para penuntut di IPT-IPT sekitar NS seperti USIM, Pusat Asasi UIA dan Kolej UNITI Port Dickson. Bertemakan ‘Marilah Bersama Menjalin Ukhuwwah’, explorace ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah di kalangan beliawanis dan memperkenalkan mereka kepada PEMBINA. Selain itu juga bagi memenuhi salah satu daripada 10 muwasofat iaitu sihat tubuh badan
.
Para peserta mula berkumpul di Surau Nilai 3 seawal pukul 9 pagi dengan semangat yang penuh berkobar-kobar. Usai sesi taklimat oleh urusetia dan bacaan doa, persaingan dimulakan dengan setiap kumpulan yang terdiri daripada 4 orang beliawanis berlumba-lumba untuk menyelesaikan semua tugasan yang diberikan dalam masa terpantas. Sepanjang explorace ini berjalan, semua peserta kelihatan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan aktiviti yang disediakan terutamanya dalam menjawab soalan-soalan yang memerlukan mereka mengingati semula apa yang telah dipelajari selama ini.