GOMBAK, 19 Jan – Para wanita dan beliawanis merupakan golongan yang tidak kurang pentingnya dalam proses membangunkan ummah bahkan sama pentingnya dengan peranan seorang lelaki, tegas Saudari Norhamimah Ibrahim,Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) merangkap Pengarah Program Festival Beliawanis Nasional.
“Penghayatan Islam dalam kehidupan seharian sangatlah memberi impak yang besar kepada pembinaan jati diri beliawanis khususnya”, ujar Saudari Norhamimah.
Beliau mengingatkan bahawa para wanita dan beliawanis perlulah membina jati diri agar kita dapat memberikan inspirasi kepada orang lain melalui cara menggilap bakat serta kebolehan yang sedia ada.
“Wanita adalah tiang negara, jika baik wanita di sesebuah negara itu, maka baiklah negaranya dan jika rosak mereka, maka akan hancurlah negaranya”,jelas beliau lagi.
Menyedari kepentingan dan besarnya peranan seorang wanita, beliau menyeru agar semua wanita dan beliawanis agar menjadi suri teladan kepada anak-anak serta bersabar dalam mendidiknya bagi melahirkan generasi yang berguna untuk agama bangsa dan negara.
Begitulah antara intipati pesanan dan harapan beliau ketika berucap dalam Festival Beliawanis Nasional di Main Auditorium, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.
Wartawan: Noorkamaliah Shahariah
Editor: Nurnaima Zainuddin