Bulan Julai 2010 menyaksikan ramai pelajar baru mendaftar di Institut-institut Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negara. Saya mengkategorikan mereka ini sebagai golongan ‘elit’ yang mana majoritinya adalah golongan belia muslim. Mereka ini merupakan di antara 40,000 pemohon yang berjaya diterima masuk ke IPT awam.
Walaupun 40,000 itu kita nampak sebagai satu angka yang besar, namun ia hanyalah merangkumi sebahagian kecil pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada 2009, iaitu kira-kira 500,000 orang pelajar. Ini menjadikan hanya 8% sahaja pelajar yang diterima masuk ke IPT awam. Satu persoalan yang sepatutnya bermain di fikiran kita, ‘Ke manakah perginya lebihan 92% itu?’. Jika tidak ada perancangan dan kajian yang teliti dilakukan oleh semua pihak, sudah tentu potensi dan kemahiran yang ada pada mereka ini terbazir dengan begitu sahaja.
Berbalik kepada golongan ‘elit’ tadi, umum mengetahui dan meletakkan harapan yang besar kepada golongan ini untuk mentadbir dan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan dalam semua bidang profesionalisme yang ada. Kita mengharapkan mereka untuk bersungguh-sungguh dan berjaya dalam bidang masing-masing, menimba seberapa banyak pengalaman dan memiliki akhlak dan sahsiah yang baik sepanjang pengajian mereka sebelum terjun ke alam seterusnya yang lebih mencabar. Harapan ini lebih-lebih lagi dikongsi oleh keluarga dan sanak saudara golongan-golongan ‘elit’ ini. Lebih dari itu, ramai daripada ibu bapa yang memberi banyak kemudahan-kemudahan lain untuk membantu anak-anak meraka belajar. Tidak cukup dengan wang poket tambahan, ada yang memberikan kereta, motor, komputer riba, peralatan rumah dan banyak lagi.
Sepatutnya golongan ‘elit’ yang telah diberi segenap kemudahan dan ruang ini akan lebih mudah untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Tetapi, apa yang telah berlaku, khabarnya tidaklah lebih indah dari rupa. Kita tidak mendengar peningkatan pelajar yang mendapat Gred Kelas Pertama ataupun pelajar yang berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa. Pengalaman saya yang tinggal di kawasan tempat tinggal golongan ‘elit’ dan berdekatan dengan IPT terkemuka memberi sedikit sebanyak gambaran tentang belia moden masa kini. Saban malam saya menyaksikan golongan ‘elit’ ini memenuhi restoran-restoran untuk melepak, menghisap rokok, sembang-sembang kosong dan perkara-perkara yang tentunya tidak berfaedah. Ditambah pula dengan trend menghisap shisha yang semakin popular di kalangan mereka ini termasuklah di kalangan wanita.
Kereta yang diberikan oleh keluarga banyak digunakan untuk berjalan ke sana sini, komputer riba lebih digunakan untuk bermain permainan komputer ataupan melayari internet berjam-jam lamanya dan duit poket digunakan untuk membeli barang-barang elektronik,pakaian dan sebagainya. Masa dan ruang yang sepatutnya digunakan untuk belajar dan membina diri mereka sebagai pemimpin masa hadapan telah disia-siakan dengan begitu sahaja. Kita belum lagi menjengah masalah sosial dan masalah akhlak yang berlaku di kalangan mereka.
Pendek kata, belia melayu Muslim kita berada dalam keadaan yang lompong jati diri, jauh dari memikirkan masa depan, terjebak dalam budaya hedonism melampau dan sudah semakin kurang pegangan agama dan kesedaran Islam. Andai kata keadaan ini dibiarkan, siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk mengemudi nasib agama, bangsa dan negara kita di masa hadapan. Jawapannya, sudah tentu anda semua; golongan belia-belia muslim yang menyedari akan tanggungjawab besar ini. Anda seharusnya memulakan perubahan diri dari sekarang sebelum terlambat, ‘sebelum nasi menjadi bubur’, seterusnya memimpin perubahan di kalangan komuniti belia sekeliling anda!