Beliawanis Selangor Dekati Masyarakat Melalui Bond of Love

11 Julai 2010, Ahad: Unit Beliawanis Shah Alam-Klang telah mengadakan satu program berkonsepkan ukhwah yang disertai seramai hampir 15 orang pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) , Shah Alam dan Management and Science University (MSU). Program Bond of Love kali yang ketiga ini telah diadakan di Bulatan Kresma UiTM. Antara objektif  program ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim dengan pelajar dari pelbagai IPT dan memperkenalkan PEMBINA kepada mereka. Program ini juga menjadi salah satu cara atau medium untuk PEMBINA mendekati masyarakat khususnya golongan remaja yang berada di IPT.

Detik-detik kemanisan ukhuwwah di BOL

Detik-detik kemanisan ukhuwwah di BOL

Program dimulakan dengan sesi taaruf di antara Beliawanis dan para peserta yang rata-ratanya tidak pernah bersua muka di antara satu sama lain. ‘Rantaian Nama’ adalah aktiviti taaruf (perkenalan) yang dijalankan oleh peserta yang mana sesi perkenalan itu dilakukan dalam bentuk pusingan yang berterusan.  Selesai memecahkan ‘tembok ais’, para peserta bersama-sama mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Dr. Hasliza Ahmad Fauzi yang merupakan graduan dari University of Melbourne dengan tajuk sahabat- Usamah bin Zaid. Ketokohan, semangat dan peribadi unggul Usamah bin Zaid telah dikupas dengan jayanya oleh Dr. Hasliza dan para peserta tekun mendengar tazkirah yang diberi. Ramai yang tidak pernah mengenali akan siapakah Usamah bin Zaid dan program ini sedikit sebanyak telah berjaya memberi input berguna kepada mereka. Soal jawab juga menunjukkan para peserta sangat berminat mengetahui sahabat ini.

Usai slot tazkirah, acara yang ditunggu-tunggu sejak pagi pun bermula dengan permainan yang pertama iaitu ‘Battle of the Ballons’. Peserta dibahagiakan kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan beberapa belon yang ditiup dan diikat di kaki masing-masing. Mereka dikehendaki memecahkan belon kumpulan  lain dengan memijak belon kumpulan itu disamping melindungi belon mereka masing-masing. Kumpulan yang masih banyak belon yang tidak pecah lagi itu dikira sebagai pemenang. Moral aktiviti ini adalah untuk melihat sejauh manakah peserta bersungguh-sunguh mempertahankan belon-belon pasukan mereka dan dalam masa yang sama merancang strategi untuk menyerang pasukan lawan. Aktiviti seterusnya, aktiviti ‘Pengantin Rimba’. Antara bahan-bahan yang menarik dalam aktiviti ini adalah bedak dan gincu. Setiap kumpulan menghantar dua org wakil. seorang menjadi pengantin rimba dan seorang lagi mak andamnya. Mereka diberikan  masa untuk mencari bahan-bahan tambahan seperti daun, ranting kayu dan lain-lain untuk menghias pengantin. Mak andam akan ditutup matanya dengan selendang semasa menghias pengantin. Aktiviti ini berjaya memperlihatkan kerjasama dan kebolehan ahli kumpulan memberikan arahan yang berkesan kepada mak andam untuk menghias pengantin rimba mereka. Nampaknya semua peserta sangat teruja dan gembira apabila berjaya menyelesaikan tugasan dari aktiviti tersebut.

Selesai berhempas-pulas dan bersemangat bermain, para peserta dihidangkan dengan makanan yang sengaja diadakan sedikit berbeza dengan Bond of Love siri 1 dan 2 sebelum ini dimana, BBQ bersama-sama disediakan oleh Beliawanis dan peserta. Acara ini telah berjaya mengeratkan hubungan antara Beliawanis dan peserta kerana acara ini lebih santai dan Beliawanis dapat berkongsi pengalaman sebagai pelajar dan pekerja kepada peserta yang rata-ratanya merupakan pelajar-pelajar yang baru menjejakkan kaki ke menara gading.  Program Bond of Love ini disudahkan dengan Doa Rabitah yang dibacakan wakil Beliawans; ukhti Ili Diyana. Beliawanis dan para peserta bersalaman dan sekaligus mengakhiri Program Bond of Love yang mencatatkan seribu kemanisan dalam kamus ukhuwah Beliawanis dan para peserta.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top