Sekeping kertas surat khabar lama yang tersimpan dalam beg galas saya rupa-rupanya antara khazanah berharga yang selama ini telah saya lupakan. 3 tahun lepas (2007), saya menyimpan keratan surat khabar ini kerana kandungannya yang amat istemewa. Saya teringat juga, bahawa inilah kali pertama saya memuji isi kandungan akhbar Metro. Selama ini akhbar yg sinonim dengan ciri “tabloid” nya ini hanya dihiasi dengan berita-berita sensasi gejala sosial masyarakat dan gosip-gosip artis.
“Dakwah melalui bahasa isyarat”… Tajuk ruangan akhbar ini membuka paradigma kita yang sentiasa mengaitkan dakwah itu dengan ceramah, percakapan, pertuturan dan seumpamanya.
Iya tak ye juga…bagaimana dengan orang bisu? Tiada tempatkah mereka dalam medan dakwah Islamiyah? Adakah dakwah ini milik mereka yang petah bercakap sahaja?
Adakah dakwah ini merujuk kepada aktiviti seperti ceramah, syarahan dan komunikasi lisan semata-mata? Pandangan peribadi saya, pandangan yang melihat dakwah sebagai aktiviti yang berkait dengan komunikasi lisan seperti ceramah di masjid, syarahan agama dan kuliah-kuliah agama telah menjadikan skop dakwah itu terlalu sempit. Maka ini telah memencilkan individu-individu yang “nervous” (gementar) untuk “public speaking” atau mengalami kurang upaya seperti gagap dan bisu menjauhkan diri mereka dari menyumbang untuk dakwah Islamiyah. Sedar atau tidak, melihat dari perkembangan semasa tanahair kita yg dicintai ini, jika kita hanya menumpukan usaha-usaha dakwah kita melalui kuliah-kuliah di masjid dan surau, mungkin Islam akan terus dipinggirkan oleh generasi yang akan datang. Terimalah hakikat bahawa tak ramai orang muda yang solat berjemaah di masjid. 90% saf pertama mana-mana masjid atau surau pasti akan dipenuhi oleh bapak-bapak dan pakcik-pakcik kita yang sudah lanjut usia atau menghampiri hari-hari persaraan mereka.
Di mana orang-orang muda kita hari ini? Anda pasti setuju kalau saya katakan amat pelik bagi orang muda hari ni yang tidak memiliki Facebook, twitter mahupun friendster. Blog dan kemahiran ICT yang lain merupakan perkara biasa. Orang muda sekarang dah tak main handpone biasa, sekarang ni era smartphone atau PDAphone yang mana internet boleh dilayari dari mana-mana sahaja. Jadi, di mana dakwah Islamiyah dalam dunia ICT dan multimedia? Ini hanyalah contoh…saya tidaklah bermaksud fokus dakwah perlu dihalakan 100% dalam bidang ini. Cuma para pendakwah perlu lebih kreatif dan “cakna” (ambil peduli) perkembangan semasa yang berlaku di medan dakwah kita.
Oleh yang demikian, tawasur (pandangan) mengenai dakwah ini perlulah diperhalusi semula. Bagi yang memiliki kelebihan dalam komunikasi lisan, teruskanlah berhujah, bersyarah dan meyakinkan manusia bahawa Allah lah Tuhan yang selayaknya disembah. Bagi yang tidak mampu, teruskanlah eksplorasi diri anda. Mungkin jauh di suatu sudut diri, anda mempunyai kemahiran dan potensi yang mampu memberi sumbangan yang berharga kepada Islam….mungkin impaknya lebih hebat dari mereka yang petah berkata-kata. dan ingatlah firman Allah yang tiada keraguan padanya,
Dan orang-orang yang berjihad untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. (al-Ankabut:69)
Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. (as-Shoff:10-12)
Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib
Pengerusi Pembina Terengganu
ir_mnm08@yahoo.com