KUANTAN, 1 Mac– PEMBINA IIUM Kuantan melalui pakej tarbiyah telah menganjurkan forum “COMANGO, A THREAT TO OUR UMMAH” yang bertujuan memberi pencerahan terutamanya kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi mengenai isu COMANGO serta tuntutan pertubuhan ini terhadap Malaysia yang menjadi ancaman kepada umat Islam di negara ini.
Forum ini telah dihangatkan oleh kehadiran tiga orang ahli panel iaitu Ustaz Ali Abdullah (AJK ISMA Kuantan), Ustaz Norman Mohd Nor (AJK Biro Tarbiyah ISMA Kuantan) dan Ustazah Sharifah Abdul Samad (AJK Unit Informasi dan Kajian PEMBINA). Bilangan hadirin yang hampir seramai 250 orang bukan sahaja terdiri daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kampus Kuantan sendiri, malah pelajar dari IPT lain seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Islam adalah agama persekutuan di Malaysia dan hal ini sudah termaktub di dalam perlembagaan. Ini bermaksud Islam adalah agama tertinggi di negara ini. Oleh itu tidak sepatutnya mereka menuntut agar agama lain diiktiraf sama rata dengan agama Islam” Ustaz Ali Abdullah mengutarakan hujahnya mengapa umat Islam wajib menolak COMANGO pada sesi pertama forum ini. Tambahnya pula, walaupun Islam merupakan agama persekutuan, Malaysia tidak menghalang agama lain untuk diamalkan di negara ini.
Dalam pada masa itu, para hadirin juga berpeluang untuk menandatangani borang petisyen sebagai bukti mereka membantah tuntutan pengkhianat negara itu dan berjaya mengumpulkan sebanyak 1130 tandatangan terhadap bantahan menolak COMANGO. Sepanjang program ini berlangsung selama 2 jam, pelajar yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bertanya sendiri kepada ahli panel bagi mendapat kepastian tentang kefahaman mereka mengenai COMANGO dan hal-hal yang berkait.
Pada sesi akhir forum, Ustazah Sharifah Abdul Samad mengkonklusikan bahawa mahasiswa dan mahasiswi haruslah membuka langkah baru memikirkan masalah umat dan bangkit untuk mempertahankan Islam. “Pemuda merupakan catalyst. Walaupun bilangan mereka sikit, tapi hakikatnya mereka mampu memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat sekeliling. Bangunlah mahasiswa, bangkitlah demi mencari keredhaan Allah”ujar Ustazah Sharifah Abdul Samad yang amat meninggalkan kesan kepada para hadirin.
Melalui forum ini, rata-rata para hadirin lebih jelas mengenai isu COMANGO dan harapnya lebih ramai cakna akan isu yang melibatkan akidah umat Islam.
Siti Hajar Zulkifli,
Wartawan Ummah,
Biro publisiti dan promosi PEMBINA IIUM Kuantan