Bangi, 4 Mac 2014- “Agenda Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) benar-benar celaru dan buntu apabila mereka sendiri tidak jelas apakah agenda yang cuba mereka bawakan”, begitu kata Saudara Aiman Faudzi, JK Informasi dan Kajian PEMBINA ketika mengulas isu pelabelan SMM sebagai persatuan mahasiswa yang liberal. PEMBINA secara jelas telah menyatakan bahawa IRF, SIS, Lepak Maqasid dan IKD merupakan golongan pelopor fahaman-fahaman Islam songsang yang menambah kekeliruan dalam pemikiran dan jati diri dalam kalangan belia Islam melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh PEMBINA semasa Sidang Media MATK 7 yang lepas.
Bertambah mengelirukan apabila pihak SMM turut cuba memanipulasi kenyataan tersebut melalui penerbitan berita “PEMBINA Golongkan IRF, SIS, Lepak Maqasid dan SMM Sbg Kumpulan Liberal” bertarikh 25 Februari 2014 dalam laman sesawang mahasiswakini.net.
Saudara Aiman turut mengulas, mengapa PEMBINA lewat membalas respon SMM ini, katanya kenyataan rasmi sudah terang lagi bersuluh memperjelaskan siapakah golongan-golongan pendokong liberal ini. Oleh itu, sekiranya pihak SMM termakan cili, maka merekalah yang terasa pedas, lantas menyebabkan mereka mudah melatah dengan kenyataan PEMBINA.
Oleh itu, pihak PEMBINA menyeru kepada SMM untuk duduk bermuhasabah dan menyatakan dengan jelas apakah agenda mereka yang cuba disampaikan kepada masyarakat kampus bagi mengelakkan mereka sendiri melabel mereka sebagai persatuan mahasiswa liberal di masa hadapan kelak.