Muslimah & K-Pop: Sebuah Teguran Kasih Sayang

Menangis sedih, geram, marah dan terluka. Begitulah perasaan yang terzahir secara spontan tatkala melihat rakaman anak gadis yang terlihat sempurna auratnya dipeluk dan dicium oleh artis k-pop dari korea di dalam sebuah program di tanah air semalam. Alangkah hibanya rasa hati,  pilu serta tidak mampu berkata-kata dalam deras air mata yang mengalir. Mengapakah ini boleh terjadi dan salah siapa atas semua yang berlaku. Hamburan persoalan muncul di benak minda dalam sendu yang belum berkesudahan.

Di dalam ramai yang terpinga, di dalam hiruk pikuk manusia yang mencerca, pertama jangan salahkan mereka terlebih dahulu. Ianya adalah sebuah ekxpresi bagi hati yang murni, yang remuk redam jiwanya melihat para muslimah diperlakukan semudah dan sewenangnya oleh sang kafir perosak pemuda bangsa. Mereka juga sedih dan kelu seketika, lantas dengan kemarahan terhamburlah kata-kata yang mungkin mengguris jiwa.

Adikku,

Dengarlah. Betapa Islam itu memuliakan wanita sejak dari lahirnya. Bermula sebagai bayi yang ditatang, dipelihara dan diberikan pendidikan yang akan meninggikan darjatnya. Dijaga dan dipelihara serta dilindungi oleh sang bapa, abang dan adik lelaki dari gangguan sang durjana. Diperintahkan untuk ditutup auratnya agar terus menjadi mulia. Tindakan mu itu sungguh mengguris perasaan terutama buat muslimah diluar sana. Tatkala berbagai usaha dilakukan bagi menjelaskan kepada masyarakat, sehelai kain menutupi kepala, leher dan dada merupakan lambang kemuliaan dan ketinggian maruah muslimah jadi kurang bermakna dengan kesilapanmu. Kami khuatir dan berdoa semoga tidak ada wanita muslim yang belum sempurna auratnya menjadikannya sebagai penguat alasan bagi terus di dalam keadaannya.

Adikku,

Kami yakin engkau terpedaya. Bukan niatmu dan ia mungkin tidak disengaja. Dengarlah baik-baik pesanan ini. Bertaubatlah dan mohonlah keampunan. Sesungguhnya masih ada masa untuk itu sebuah taubat selagi nyawa belum di tenggorokan, selagi langit dan bumi belum terpecah-belah. Sebuah pendedahan bagi  kesilapan yang amat perit untuk ditelan harus merupakan teguran Allah langsung kepadamu untuk kembali kepada-Nya. Teruslah dengan imej muslimah itu secara luaran dan tingkatkan serta perbaiki keperibadian dan jati diri secara dalaman, spiritual dan keimanan. Ambillah mutiara peringatan dibawah ini sebagai bekal masa hadapan.

Tipu daya hawa nafsu

Allah swt mengingatkan agar sentiasa memelihara diri dari berusaha menjauhi tipu daya syaitan juga hawa nafsu. Bahkan dalam setiap ayat yang menyebut berkenaan hawa nafsu, ia mesti akan dicela da pengikutnya dikutuk. Jelaslah setiap muslim harus berhati-hati terhadap godaan hawa nafsu agar tidak mudah terpedaya sehingga terjebak dalam perkara kemungkaran.

“Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” (Al-Qasas, 28: 50)

Jauhilah dosa-dosa kecil serta perbuatan yang membawa kepada kelalaian. Kita mungkin terpedaya dengan perkara yang mungkin pada asalnya bukan maksiat namun sekadar membuang masa namun secara tidak sedar dan mendekatkan diri kita dengan perbuatan dosa. Dosa- dosa kecil tanpa taubat jika dihimpun akan mampu menggelapkan hati lantas menyukarkan cahaya iman menembusi. Obses dan terlalu banyak menonton drama korea dan lagu k-pop boleh menjadi faktor ketaksuban dan merelakan perbuatan mereka yang dianggap sebagai idola tanpa sedar dan akal yang waras.

Jagalah Allah, Allah Menjagamu

Nabi saw bersabda dalm satu hadis yang mafhumnya:

“Tidaklah seorang penzina itu berzina tatkala dia sedang beriman, tidaklah seorang pencuri itu mencuri tatkala dia sedang beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak tatkala dia sedang beriman” (HR Bukhari)

Hadis ini menunjukkan kepentingan iman bagi memelihara diri dari perbuatan mungkar. Keimanan merupakan benteng yang ampuh. Dengan keimanan yang teguh juga Nabi Yusuf mampu menepis ujian sang penggoda. Dengan keimanan jualah seorang pemuda sanggup memalitkan najisnya ketubuhnya sendiri bagi menjauhi godaan si pelacur. Maka muslimah yang beriman itu ada kekuatan untuk berkata tidak, menolak perbuatan yang merendahkan maruah dirinya.

 “Wahai anak kecil, sesungguhnya aku ingin mengajarimu beberapa kata, jagalah Allah nescaya Allah menjagamu, jagalah Allah nescaya dia akan selalu berada dihadapanmu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah. Jika kamu memohon pertolongan, pohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah jika sebuah ummat berkumpul untuk mendatangkan manfaat kepadamu atas sesuatu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat sedikitpun kecuali dengan apa yang Allah tetapkan bagimu, dan jika mereka berkumpul untuk mencelakakanmu atas sesuatu, nescaya mereka tidak akan mencelakakanmu kecuali kecelakaan yang Allah tetapkan bagimu. Penan telah diangkat da lembaran telah kering” (HR Tirmidzi)

Semua perkara yang luar dari batas kemampuan manusia, hanya Allah sahaja yang mampu menjaga dan memeliharanya. Maka jagalah dirimu dengan menjaga Allah melalui pengukuhan keimanan dan peneguhan ketaqwaan.

Penuhilah masa muda ini dengan perkara-perkara yang amat bermanfaat dan berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Sibukkan diri dalam aktiviti yang mampu membina jati diri dan menjadikan diri kita mukmin yang hebat dalam pandangan Allah swt. Sehinggakan kita akan memandang sessuatu yang tidak diredhainya dalam pandangan yang rendah dan kecil, tiada kehebatan dan tiada nilai disisi Allah SWT. Sehinggakan yang menjadi ikutan dan idola kita adalah sosok peribadi Agung Rasulullah saw bukan lagi artis k-pop yang tidak punya apa-apa.

Peringatan buat semua

Ingatlah. Teguran ini hakikatnya bukan kepada mereka sahaja. Teguran ini adalah teguran Ilahi kepada semua yang ada, ibu-bapa, rakan-rakan, para daie dan juga kerajaan untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab yang ditaklifkan sebaiknya. Pendidikan yang sempurna, kasih sayang secukupnya di dalam keluarga. Dakwah dan mesej kebaikan, larangan bagi kemungkaran perlu disebar seluasnya. Peranan kerajaan dalam membendung unsur negatif, perosak jati diri pemuda dan pemudi masuk ke dalam negara. Semua kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di padang masyhar kelak.

Roszida Kamaruddin
Ketua Beliawanis PEMBINA Pusat

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top