Bezakan Yahudi Dengan Zionis

Dewan Merdeka PWTC, 9 Mei 2009- Sahibus Samahah Mufti Perlis Dr. Juanda Jaya mengatakan bahwa umat Islam perlu membezakan antara Yahudi dan Zionis.
“Kita perlu membezakan antara Yahudi dan Zionis. Kita tidak membenci Yahudi, kita tidak membenci Kristian. Apa yang kita benci ialah Zionisme, iaitu penjajahan yang telah berlaku di Palestin. Penjajahan itu bukan sahaja menindas orang Islam, malahan orang Kristian, malahan orang Yahudi yang anti-zionis itu sendiri.” Kata beliau apabila diminta mengulas tentang pandangannya ketika sesi sidang Media berlangsung setelah beliau merasmikan Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis anjuran PEMBINA dan Aman Palestin.
Kata beliau lagi jika zionis ini terus berleluasa, selagi itulah Palestin tidak aman. Oleh itu umat Islam hari ini perlu diajar tentang membenci Zionis, penjajahan yang berlaku keatas Paletin sejak 61 tahun yang lalu. Bukannya membenci Yahudi atau Kristian.
Kata beliau lagi, beliau meyakini terdapat ramai orang Kristian yang ingin melawati gereja-gereja suci mereka di Baitul Maqdis, begitu juga dengan orang Yahudi yang ingin melawat Jerusalem mereka. Oleh itu, Zionis bukan sahaja menyeksa dan membunuh umat Islam malahan menghalang mereka(orang Yahudi dan Kristian lain) daripada pergi kesana( Baitul Maqdis).
Oleh itu masyarakat perlu disedarkan tentang isu Palestin ini dan isu penjajahan yang dilakukan golongan Zionis. Dr Juanda Jaya telah menghabiskan sepenuh harinya bersama konvensyen ini bagi menyatakan sokongan beliau terhadap PEMBINA dan Aman Palestin serta terhadap isu Palestin dengan mendengar pembentangan yang dilakukan oleh semua ahli panel iaitu Dr Roslan Mohd Nor, Dr Azzam Tamimi dan Dr Mohsen Salleh. Konvensyen berakhir pada pukul 4.40 petang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top