Beliawanis Sokong Garis Panduan LPF, Sanggah Kenyataan Azalina

zid

BANGI, 2 Ogos – “Kenyataan Dato Azalina Othman Said yang menegur garis panduan drama dan filem yang dikeluarkan Lembaga Penapisan Filem (LPF)jelas tersasar dari ajaran Islam,” kata Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Roszida Kamaruddin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga turut menyatakan bahawa adegan berpelukan dan berpegangan tangan tidak perlu diperbesarkan kerana ianya hanyalah sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat dan menganggap sekatan oleh LFP adalah satu pemikiran yang sempit dan merepek.

Roszida memetik sebuat hadis yang diriwayat oleh At-Thabrani bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.”

Menurut Roszida lagi, hadis ini jelas menerangkan mengenai larangan bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram apatah lagi perbuatan yang lebih dari itu seperti berpelukan, ciuman dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, Roszida turut menegaskan bahawa adegan yang dilakukan walaupun hanya sebuah lakonan tetapi mampu menjadi pencetus berlakunya maksiat.

“Adegan yang dilakukan bukan sahaja sekadar perbuatan mungkar malah menjadi penyebab lahirnya budaya tiada rasa malu dalam masyarakat,” ujarnya lagi.

Kesinambungan dari itu, Roszida menyarankan supaya filem yang dikeluarkan oleh pengarah perlu lebih kreatif dalam menonjolkan sesuatu watak tanpa menjurus ke arah adegan-adegan sensual sambil menerapkan nilai-nilai murni.

“Adegan-adegan yang lebih kreatif dapat menjadikan sesuatu filem itu lebih berkualiti tinggi disamping dapat mendidik masyarakat dengan nilai-nilai murni, bahkan banyak filem dan drama sebegini yang boleh dijadikan contoh telah memenangi anugerah berprestij,” kata Roszida lagi.

Jelas Roszida lagi, adegan-adegan sensual yang dibuat hanyalah sebagai gula-gula untuk menariik masyarakat menonton sebuah filem yang tidak berkualiti,

Justeru itu, PEMBINA menyeru agar penggiat drama dan perfileman negara agar keluar dari elemen picisan dan adegan tidak sopan dan bangkit menghasilkan karya yang lebi8h bermutu dan bersifat mendidik.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top